Hari Bapa: Putera William mahu anak faham isu gelandangan

Agensi
Jun 18, 2023 17:22 MYT
William mendedahkan bahawa beliau cuba membantu anak-anaknya memahami gelandangan dan situasi mereka. -Foto Kensington Palace/AP
LONDON: Keluarga diraja Britain meraikan Hari Bapa dengan foto baharu Putera William bersama tiga anaknya.
Putera Louis, 5, memeluk bahu bapanya sementara Putera George, 10, dan Puteri Charlotte, 8, duduk di sisinya.
Gambar itu diambil di Windsor Estate awal tahun ini oleh jurugambar, Millie Pilkington.
Tahun ini menandakan kali pertama William meraikan hari istimewa ini dengan bapanya sebagai raja.
Raja Charles ditabalkan sebagai raja susulan kemangkatan bondanya, Ratu Elizabeth II, tahun lalu.
Putera Wales berusia 41 tahun itu mendedahkan bahawa beliau sedang cuba membantu anak-anaknya memahami apakah itu gelandangan dan situasi mereka.
"Salah satu perkara yang saya fikirkan ialah, bilakah masa yang sesuai untuk membawa George, Charlotte atau Louis ke organisasi gelandangan?
“Dalam perjalanan sekolah, kami bercakap tentang apa yang kami lihat.
"Apabila kami berada di London, kami selalu melihat gelandangan duduk di luar pasar raya dan kami akan bercakap mengenainya," kata William kepada The Times London dalam temu bual yang diterbitkan pada Sabtu.
William menjadikan isu gelandangan sebagai salah satu misinya dan akan mendedahkan projek jangka panjang bersama The Royal Foundation yang bertujuan membantu golongan itu, akhir bulan ini.
"Mereka seolah-olah tidak lagi dilihat. Saya fikir sangat penting untuk masyarakat mengakui bahawa ada golongan di luar sana dan mereka menghadapi situasi yang sukar.
"Ia tidak sepatutnya berlaku tetapi ia wujud. Kita tidak boleh mengabaikannya," katanya.
#Putera William #hari bapa #Putera George #Puteri Charlotte #Putera Louis
;