Harga naik 35 sen, syarikat pembuat aiskrim Jepun siar iklan mohon maaf
AFP
April 5, 2016 21:00 MYT
April 5, 2016 21:00 MYT
Hanya kerana menaikkan harga produknya sebanyak 10 yen (35 sen), kakitangan sebuah syarikat pembuat makanan sejuk beku di Jepun muncul dengan satu iklan di televisyen untuk memohon maaf.
Akagi Nyugyo, sebuah syarikat pembuat ais krim yang popular di negara matahari terbit itu, menaikkan harga aiskrim di bawah jenama GariGarikun sebanyak 35 sen, bermula Jumaat minggu lalu.
Ia adalah kali pertama harga produk itu dinaikkan dalam tempoh suku abad.
Biarpun kenaikan tersebut melibatkan nilai yang kecil, rakyat Jepun tetap tidak berpuas hati, sekaligus memaksa syarikat berkenaan membuat permohonan maaf.
Dan cara mereka berbuat demikian pula agak unik, iaitu dengan merakamkan satu iklan khas yang kemudiannya ditayangkan di televisyen pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Iklan berdurasi seminit itu dimulakan dengan close up wajah-wajah eksekutif syarikat itu yang nampak sugul, berdiri di hadapan ibu pejabat mereka di Tokyo.
Ia membabitkan kira-kira 100 kakitangan, yang kemudiannya melakukan tunduk hormat, sebagai tanda meminta maaf.
Serentak itu, satu teks bertulis "Kami bertahan selama 25 tahun, tetapi...", diikuti "60→70".
Teks berkenaan merujuk kepada kenaikan harga dari 60 yen (RM2) kepada 70 yen (RM2.40).
Ini bukanlah kali pertama syarikat tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka. Pada tahun 1991, mereka membuat satu permohonan maaf yang disiarkan di dalam sebuah akhbar harian, juga atas sebab kenaikan harga produk.