Harga minyak naik selepas OPEC kekalkan dasar kurangan pengeluaran

Bernama
Disember 5, 2022 04:40 MYT
OPEC pada Ahad bersetuju untuk mematuhi sasaran mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari (bpd) sehingga akhir tahun hadapan. - Gambar hiasan
ANKARA: Harga minyak meningkat pada Isnin susulan kebimbangan mengenai bekalan bahan api itu selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, (OPEC+) bersetuju mengekalkan dasar pengurangan pengeluaran dalam menghadapi sekatan Kesatuan Eropah (EU).
Kenaikan harga itu juga susulan pelaksanaan penetapan had harga ke atas eksport minyak Rusia serta sekatan COVID-19 di China.
Penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah Brent diniagakan pada AS$86.02 setong pada 09.55 pagi waktu tempatan (0655 GMT), naik 0.52 peratus berbanding AS$85.57 setong pada sesi dagangan sebelumnya.
Sementara itu, penanda aras Amerika West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$80.50 setong, kenaikan 0.65 peratus selepas sesi sebelum ditutup pada AS$79.98 setong.
OPEC+ pada Ahad bersetuju untuk mematuhi sasaran mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari (bpd) sehingga akhir tahun hadapan.
Mesyuarat secara maya itu berlangsung sehari sebelum larangan EU terhadap eksport minyak mentah Rusia dan dihadkan pada AS$60 setong yang akan berkuat kuasa pada Isnin.
"Keputusan OPEC+ untuk meneruskan pengurangan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari yang dipersetujui baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan ketidaktentuan dalam pasaran terhadap kesan larangan import minyak mentah EU-Rusia pada 5 Dis dan penetapan harga yang dibuat G7," kata naib presiden minyak makro di Wood Mackenzie, Ann-Louise Hittle menerusi e-mel.
Hittle berkata kumpulan pengeluar menghadapi risiko menurun akibat pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan dasar sifar COVID China.
"Pelarasan terhadap larangan EU dan penetapan harga berkemungkinan membantu menyokong harga minyak buat sementara waktu," kata beliau.
-- BERNAMA
#OPEC #harga minyak #eksport minyak Rusia #COVID-19
;