Harga minyak mentah Brent meningkat berikutan ketegangan di Asia Barat
Bernama
Januari 19, 2022 19:08 MYT
Januari 19, 2022 19:08 MYT
KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent meneruskan aliran menaik untuk ditutup pada US$89 (US$1=RM4.19) setong dalam persekitaran berkemungkinan berlaku gangguan bekalan berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata harga minyak mentah Brent dijangka mencecah melebih paras US$90 setong dalam tempoh terdekat ini berikutan ketegangan politik disebabkan oleh kejadian serangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini dan pertikaian antara Rusia dan negara-negara Barat berhubung konflik di Ukraine.
Ketika berita ini ditulis, Brent meningkat 0.41 peratus kepada US$87.87 setong manakala West Texas Intermediate naik US$67 peratus kepada US$86 setong.
Pasaran minyak dipengaruhi oleh pengumuman politik daripada pihak seperti Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Amerika Syarikat (AS), pembekal minyak utama dan pemacu utama harga minyak.
Antara punca gangguan politik yang mempengaruhi pasaran minyak selama bertahun-tahun adalah Asia Barat, rantau tersebut memainkan peranan penting dalam bekalan global.
Pada Isnin, serangan dron di UAE disyaki dilakukan pemberontak Houthi dari Yaman telah meletupkan tiga kapal tangki bahan api, tiga orang maut akibat serangan tersebut.
Harga minyak mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada Selasa kerana peniaga bimbang serangan ke atas kemudahan penyimpanan bahan api di UAE akan menjejaskan bekalan.
Sebagai tindak balas, pakatan yang diketuai Arab Saudi menyerang ibu kota Yaman, Sanaa menerusi serangan udara, sebanyak 20 orang dilaporkan terkorban dalam serangan itu.
Serangan ke atas negara yang kaya dengan minyak dan jangkaan bahawa permintaan akan meningkat menyebabkan harga minyak mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2014.
Minyak mentah Brent melonjak 1.0 peratus untuk mencecah US$87.22 setong.
Kenaikan harga lebih tinggi di AS, di mana minyak mentah West Texas Intermediate meningkat 1.3 peratus kepada US$84.89 setong.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata wujud peluang yang baik bahawa harga minyak mentah mungkin kekal tinggi memandangkan kekurangan pelaburan dalam industri itu, ia akan menjadikan sektor itu terdedah kepada lonjakan permintaan yang mendadak.
Sebagai contoh, beliau berkata jumlah pelantar minyak yang beroperasi secara global setakat Disember 2021 berjumlah 1,563 unit berbanding 3,570 unit pada akhir tahun 2014.
Beliau berkata tiada siapa yang boleh meramalkan bagi mengetahui sama ada harga minyak mentah yang tinggi akan berlanjutan ketika usaha ke arah pengeluaran tenaga hijau dijangka meningkat dengan pantas berikutan inisiatif karbon bersih-sifar menjelang tahun 2050 melibatkan banyak bidang kuasa.
"Peralihan itu boleh menyebabkan harga lebih tinggi dan selepas itu ia kembali turun sekiranya tenaga hijau diutamakan dan mencapai jumlah yang mencukupi dalam pengeluaran," katanya.
-- BERNAMA