Harga minyak dunia meningkat
Agensi
Januari 29, 2019 11:15 MYT
Januari 29, 2019 11:15 MYT
HARGA minyak mentah meningkat pada dagangan Selasa selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas syarikat minyak Venezuela PdVSA.
Harga minyak pasaran Brent yang menjadi pengukur utama kebanyakan harga minyak pasaran dunia termasuk Malaysia, berada pada AS$60.08 setong, meningkat 15 sen atau 0.3 peratus.
Tindakan AS menyekat syarikat minyak Venezuela merupakan sebahagian langkah negara itu dalam mengekang kepimpinan Nicholas Maduro.
AS pada Isnin menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan ketua pembangkang Venezuela Juan Guaido yang mengumumkan dirinya selaku presiden interim minggu lepas, serta menggesa Maduro melepaskan jawatan.
Venezuela mempunyai rizab minyak yang berjaya dikesan terbesar dunia dan merupakan negara ahli Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Di sebalik rizab yang besar, eksport minyak negara itu menyusut dari 1.6 juta tong sehari pada 2017 kepada 1 juta tong sehari pada 2018.
Penyusutan itu disebabkan krisis ekonomi dan politik negara itu yang semakin meruncing.
#Amerika Syarikat
#AS
#Donald Trump
#ekonomi
#harga minyak
#minyak
#oil price
#OPEC
#politik
#Venezuela