'Hard Spots' ditemui di dasar lautan Hindi, kemungkinan besar ciri geologi - Australia

Agensi
September 5, 2014 18:16 MYT
Bluefin-21 digunakan oleh pihak berkuasa Australia dalam mencari pesawat MH370 di dasar Lautan Hindi
Pihak berkuasa Australia yang mengetuai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 berkata pada Jumaat bahawa satu ‘hard spots’ atau bayangan objek keras berjaya dikesan di dasar lautan Hindi namun berkata ia berkemungkinan hanya sebahagian dari ciri-ciri geologi kawasan terbabit.
Pakar-pakar ketika ini sedang menjalankan kajian sonar di sebuah kawasan yang tidak pernah diterokai sebelum ini iaitu di selatan Lautan Hindi, sebagai sebahagian persediaan pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata carian sonar telah menyediakan maklumat berkenaan kedalaman air dan komposisi dasar laut di zon carian.
"Cahaya sonar itu boleh mengenalpasti darjah kekerasan, namun tidak dapat membezakan antara (sebagai contoh) logam keras pesawat dan batu keras dasar laut.
"Kebanyakan ‘hard spots’ yang ditemui adalah ciri-ciri geologi dan bukan objek buatan manusia,” kata seorang jurucakap ATSB.
Dijangka bermula bulan ini, pencarian akan memberi tumpuan kepada kawasan carian seluas 60,000 kilometer persegi (23,000 batu persegi).
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata pemetaan berterusan dasar laut telah berjaya menemui ciri geografi asing termasuk penemuan gunung berapi baru setinggi 2,000 meter (6,562 kaki).
"Ada satu kawasan, kedalaman laut adalah serendah 600 meter kemudian dalam jarak dekat, kedalaman menjadi 6,600 meter.
"Ia agak dramatik di beberapa tempat dan sudah tentu peralatan yang digunakan boleh hilang jika kita tidak memetakan dengan lebih awal dan mengesan di mana gunung-gunung berapi ini,” kata Truss lagi.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
#ATSB #Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) #Ketua Pesuruhjaya ATSB Martin Dolan #Malaysia Airlines #MAS #MH370
;