Harapan temui budak lelaki terjatuh dalam lubang selamat semakin tipis

Astro Awani
Januari 3, 2023 07:00 MYT
Anggota tentera dan pakar kejuruteraan bertungkus lumus mengeluarkan lumpur dan air di kawasan tersebut bagi mengeluarkan batang tiang konkrit itu. - Foto Twitter/Rita Rosenfeld
HARAPAN menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh ke dalam lubang sedalam 35 meter di tapak pembinaan sejak tiga hari lalu terselamat semakin tipis, kata anggota penyelamat.
Mangsa, Thai Ly Hao Nam, terjatuh dalam lubang batang tiang konkrit selebar 25 sentimeter yang dibina untuk jambatan baharu ketika sedang mencari besi buruk di selatan Vietnam pada ambang Tahun Baharu.
BACA: Budak lelaki jatuh lubang sedalam 35 meter di Vietnam
Anggota tentera dan pakar kejuruteraan bertungkus lumus mengeluarkan lumpur dan air di kawasan tersebut bagi mengeluarkan batang tiang konkrit itu.
Kanak-kanak itu mungkin cedera parah jika terselamat, kata seorang pegawai.
"Harapan untuk menemui mangsa terselamat semakin tipis," kata Doan Tan Bu, seorang pegawai tempatan di wilayah Dong Thap di mana kejadian itu berlaku.
Bekalan oksigen turut disalurkan ke dalam lubang tersebut bagi membantu kanak-kanak itu bernafas.
Kanak-kanak tersebut menjerit minta pertolongan sebaik sahaja terjatuh ke dalam lubang berkenaan namun anggota penyelamat berkata dia tidak memberikan sebarang respons pada Isnin.
Seramai 100 anggota tentera serta peralatan khas dikerah dalam usaha menyelamat kanak-kanak tersebut sejak Sabtu lepas.
Kawasan berkenaan turut ditutup kepada orang ramai semasa usaha mencari dan menyelamat dijalankan.
#kanak-kanak jatuh lubang #tapak pembinaan #lubang batang tiang konkrit #Thai Ly Hao Nam
;