Hapus LGBT: AS mula pelaksanaan iktiraf hanya dua jantina

Sinar Harian
Februari 2, 2025 09:00 MYT
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS kini menghapuskan istilah LGBT dari laman web mereka susulan arahan Presiden Donald Trump yang menegaskan hanya terdapat dua jantina. - Gambar hiasan/Sinar Harian
NEW YORK: Kakitangan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) kini bertungkus lumus memadam istilah transgender dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada laman web mereka.
Beberapa pekerja dari agensi berkenaan memberitahu penghapusan itu termasuk memaparkan bendera LGBT serta berkaitan dengan golongan itu.
Selain itu, arahan persekutuan menetapkan bahawa tandas di agensi kesihatan hanya boleh digunakan mengikut jantina biologi.
Tindakan ini dilakukan susulan arahan Presiden Donald Trump yang menetapkan bahawa hanya dua jantina iaitu lelaki dan perempuan selain mengisytiharkan kategori itu tidak boleh diubah.
Langkah itu sebagai memenuhi janji beliau selepas puak konservatif mengecam program budaya, jantina dan kepelbagaian, kesaksamaan serta keterangkuman (DEI).
Dalam pada itu menurut Pengarah Pusat Pandemik Sekolah kesihatan Awam Universiti Brown, Jennifer Nuzzo, pelaksanaan ini berisiko merosakkan program yang telah dibangunkan selama beberapa dekad untuk memenuhi keperluan semua rakyat AS.
Pakar kesihatan awam AS juga memberi amaran bahawa larangan terhadap program DEI bukan sahaja menjejaskan kepelbagaian dalam tenaga kerja, tetapi juga program kesihatan yang memberi tumpuan kepada populasi terpinggir dan kurang bernasib baik. - Sinar Harian memetik agensi
#LGBT #CDC #penghapusan #Jantina
;