Hanya satu nama dalam kertas undi... Inilah 'demokrasi' cara Korea Utara!

Agensi
Mac 10, 2019 05:36 MYT
Kim Jong Un... tiada pemimpin 'hebat' seumpamanya di seluruh dunia. - Foto fail
Rakyat Korea Utara pada Ahad menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi, namun dalam pilihan raya tersebut, hanya seorang yang jelas menjadi pemenangnya.
Parti Pekerja pimpinan Kim Jong Un sememangnya mempunyai cengkaman kuat dalam politik di negara yang dinamakan sebagai Republik Rakyat Demokratik Korea itu.
Setiap lima tahun sekali, rakyat Korea Utara yang layak mengundi perlu memilih 700 anggota untuk mengisi Dewan Tertinggi Rakyat, yang keseluruhannya mengukuhkan kedudukan parti pemerintah.
Begitupun, dengan memegang teguh pada slogan dan konsep ‘kesatuan’ Pyongyang, hanya terdapat satu nama dalam setiap kertas undi untuk ditandakan!
Para pengundi mempunyai peluang untuk ‘merasai’ pengalaman melihat nama calon tunggal yang tertera sebelum memasukkan undi itu ke dalam peti -- suatu kelaziman yang aneh dari pandangan para pemerhati politik antarabangsa.
Peratusan yang hadir mengundi dalam pilihan raya Korea Utara sebelum ini adalah 99.97 peratus, berdasarkan laporan agensi berita KCNA.
Hanya mereka yang berada di luar negara atau ‘bekerja di kawasan laut’ tidak mengambil bahagian dalam pemilihan tersebut.
Pastinya, hasil kiraan undi akan menunjukkan hasil 100 peratus untuk nama tunggal yang tertera dalam kertas undi tersebut.
“Kami menganggap semua orang di negara ini sebagai satu keluarga, maka kami akan bersatu dalam satu fikiran dan akan bersetuju dengan calon itu,” ujar pegawai dari Kesatuan Wanita Sosialis, Song Yang Ran, 57, kepada AFP.
Rakyat Korea Utara seperti Yang Ran selalunya menzahirkan sokongan penuh kepada pihak berkuasa apabila bercakap kepada media asing.
“Sistem kami adalah yang terbaik,” jawab Yang Ran apabila ditanya pendapatnya tentang konsep kertas undi yang mempunyai lebih daripada seorang calon.
"Kami tidak mengiktiraf sesiapa yang lain kecuali Pemimpin Agung kami. Kami akan terus mempertahankan kedudukan tertingginya,” tambahnya, merujuk pada Kim Jong Un.
#demokrasi #diktator #Kim Jong Un #Korea Utara #pengundi #pilihan raya #Pyongyang #rakyat
;