Hanya kerana PS3, pekerja premis permainan Indonesia dibunuh, dibakar
Agensi
Februari 25, 2018 09:06 MYT
Februari 25, 2018 09:06 MYT
KES pembunuhan Achmat Wahyu Sobirin, 26 tahun, di Jawa Timur terlampau tragis.
Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh telanjang, seluar dalamnya terlucut, terbakar 30 peratus, dengan muka penuh dilitupi darah.
Pasukan penyiasat buntu, kerana pembunuhan Achmat pada Januari lalu disifatkan misteri, daripada motif, hingga punca dia jadi korban dalam keadaan menyayat hati.
Bedah siasat mendapati Achmat ada kesan cedera di dubur, dan dengan mayat ditemui dalam keadaan separuh bogel, penyiasat pada awalnya merumuskan dia jadi mangsa serangan seksual.
Namun, ketika proses perbicaraan bermula minggu ini, satu demi satu misteri di sebalik pembunuhan Achmat terungkap.
Menurut laporan media tempatan Indonesia, Achmat dibunuh hanya gara-gara permainan video Play Station 3 (PS3).
Suspek merupakan pengunjung setia premis permainan PS3 tempat Achmat bekerja.
Setelah puas bermain PS3, suspek meminta Achmat menghantarnya ke rumah menaiki motosikal, dengan menawarkan upah 20,000 Rupiah (RM6).
Tanpa syak wasangka, Achmat mengikut permintaan itu.
Di separuh jalan, suspek terlintas mahu membunuh Achmat, lalu meminta dia berhenti di tepi sawah kerana mahu mencari wangnya yang didakwa tercicir.
Achmat yang tidak mengetahui niat jahat suspek, akur.
Dia kemudian dipukul di kepala, hingga jatuh tersungkur.
Suspek kemudian memukul Achmat berkali-kali di bahagian kepala, pelipis, wajah dan dada hingga dia menghembuskan nafas terakhir.
Mayat Achmat kemudian diseret ke kebun tebu berdekatan, dan ditinggalkan.
Suspek mengambil wang dan telefon bimbit mangsa dan berlalu pergi dengan menunggang motosikal Achmat.
Tidak cukup dengan membunuh Achmat, suspek kemudian kembali ke premis permainan PS3 berkenaan untuk mencuri PS3, wang tunai 500 ribu Rupiah (RM144) dan buku catatan premis berkenaan.
Bimbang perlakuan jenayah terbocor, suspek kembali ke ladang tebu dengan sebotol minyak petrol.
Suspek membakar mayat Achmat untuk menutup jejak jenayah.
Dia kemudian menggadaikan motosikal Achmat dan membeli sebuah motor baru.
Baki wang hasil gadaian motosikal Achmat berjumlah 700 ribu Rupiah (RM200) diserahkan kepada isteri dan ibunya.
Lakonan semula kejadian jenayah dalam beberapa babak ini menyebabkan ramai yang terkejut.
Jika didapati bersalah, suspek berdepan penjara 15 tahun.