Hanya berpandukan internet, remaja ini berjaya bina reaktor nuklear

Agensi
Februari 23, 2019 20:16 MYT
Jackson Oswalt mendapatkan panduan dan maklumat untuk membina reaktornya dari internet sahaja. - World News/YouTube
KETIKA ramai remaja seusia sibuk dengan media sosial dan juga bermain di jalanan, seorang remaja dari Memphis, Amerika Syarikat sudah berjaya membina reaktor nuklear.
Jackson Oswalt, 13, mula menumpukan perhatian kepada minatnya terhadap topik itu sejak berusia 12 tahun, dan dia mendedahkan bahawa semua itu dilakukannya dalam sebuah bilik tambahan di kediaman keluarganya, serta hanya berpandukan internet.
Oswalt dipercayai individu paling muda di dunia berjaya membina reaktor pelakuran nuklear.
Mesin tersebut dibangunkan menerusi perkakasan vakum, pam dan relau yang dibeli menerusi eBay oleh ibu bapanya. Semua itu difahamkan menelan belanja sejumlah AS$10,000.
Mekanisme reaktornya itu memampat atom dengan kuasa yang cukup kuat untuk menghasilkan tenaga yang diperangkap dalam atom itu sendiri.
Maklumat untuk membina mesin itu dikumpulkan secara atas talian dan pada 19 Januari lalu, beberapa jam sebelum usianya berganjak kepada 12 tahun, reaktor tersebut berjaya disiapkan.
“Pada awalnya, ini hanya proses untuk mempelajari apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap reaktor pelakuran.
“Selepas itu, saya mula mengumpulkan komponen yang saya perlukan. Ada yang saya dapatkan dari eBay, namun ada pula yang setelah dibeli itu bukan barangan yang saya perlukan.
“Maka saya membuat pengubahsuaian untuk projek saya,” ujar Oswalt.
Projek Oswalt itu menggunakan gas deuterium iaitu isotop bagi hidrogen, yang dipanaskan dalam teras plasma dengan 50,000 voltan elektrik. Itu dilakukan dalam relau vakum untuk memampat atom-atom tersebut.
Sebagai rekod, individu termua pernah menghasilkan reaktor pelakuran nuklear seumpamanya dipegang oleh Taylor Wilson, 14 tahun.
#amerika syrikat #jackson oswalt #pelakuran #reaktor nuklear #remaja
;