Hanya 12 trak bantuan makanan, air diedar ke utara Gaza dalam tempoh 2 setengah bulan
Bernama
Disember 23, 2024 19:47 MYT
Disember 23, 2024 19:47 MYT
GENEVA: Dalam tempoh dua setengah bulan, hanya 12 trak berjaya mengedarkan makanan dan air di utara Gaza, menurut sebuah badan amal berpangkalan di UK, Anadolu Agency (AA) melaporkan.
Ringkasan AI
- Dalam tempoh dua setengah bulan, hanya 12 trak berjaya mengedarkan makanan dan air di utara Gaza, walaupun 34 trak diizinkan masuk. Halangan oleh tentera Israel menyebabkan kelewatan dan kesukaran dalam penyampaian bantuan.
- Oxfam melaporkan bahawa bantuan kemanusiaan sering dihalang, dengan beberapa trak yang berjaya menghantar bantuan kemudian diserang. Banyak individu terperangkap tanpa makanan dan air.
- Sejak 7 Oktober tahun lepas, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah mengakibatkan lebih 45,259 kematian rakyat Palestin dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dengan serangan terhadap prasarana awam seperti hospital dan sekolah.
"Daripada 34 trak makanan dan air yang diizinkan masuk ke Wilayah Utara Gaza dalam tempoh ini, kelewatan dan halangan sistematik oleh tentera Israel menyebabkan hanya 12 trak dapat menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin yang kelaparan," kata Oxfam dalam satu kenyataan pada Ahad.
"Bagi tiga daripada trak ini, sebaik sahaja makanan dan air dihantar ke sekolah perlindungan, kawasan itu kemudian dibersihkan dan dibedil dalam masa beberapa jam," tambahnya.
Oxfam menyatakan bahawa pihaknya serta agensi kemanusiaan antarabangsa lain telah "berulang kali dihalang" daripada menyampaikan bantuan penting di Wilayah Utara Gaza sejak 6 Okt apabila Israel meningkatkan sekatan ketenteraannya di Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun.
"Beribu-ribu orang dipercayai masih terputus hubungan, tetapi dengan akses kemanusiaan disekat, jumlah sebenar tidak dapat diketahui," katanya.
"Pada awal Disember, organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza menerima panggilan daripada individu yang terperangkap di rumah dan tempat perlindungan yang kehabisan makanan dan air sepenuhnya."
Oxfam turut melaporkan konvoi 11 trak bulan lepas yang pada mulanya ditahan di Jabalia oleh tentera Israel, yang sebahagian makanan dirampas oleh orang awam yang kelaparan.
"Selepas diberi kebenaran untuk ke destinasi, trak itu sekali lagi ditahan di pos pemeriksaan tentera. Askar memaksa pemandu memunggah bantuan di zon ketenteraan yang tidak boleh diakses oleh orang awam," menurut kenyataan itu.
Sejak 7 Okt tahun lepas, kempen ketenteraan Israel di Gaza mengakibatkan lebih 45,259 kematian rakyat Palestin, termasuk 17,492 kanak-kanak dan 11,979 wanita, serta 107,627 cedera, menurut laporan.
Ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Prasarana awam, termasuk hospital dan sekolah, turut menjadi sasaran utama, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.
-- BERNAMA