Hampir separuh spesies haiwan dunia berkurangan - Kajian

Bernama
Mei 23, 2023 21:30 MYT
Penyelidik mendapati tahap krisis kepupusan adalah jauh lebih teruk daripada yang ditunjukkan oleh pengukuran tradisional berdasarkan kategori ancaman. - Gambar hiasan
LONDON: Hampir separuh daripada spesies haiwan di permukaan dunia sedang mengalami penurunan populasi, menurut satu kajian baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kajian yang diterbitkan pada Selasa itu, meneliti perubahan dalam kepadatan populasi lebih daripada 70,000 spesies haiwan permukaan di dunia dari masa ke semasa, menjadikannya penyelidikan paling komprehensif seumpamanya setakat ini.
Penyelidik dari Queen's University Belfast berkata penemuan itu adalah "amaran drastik" kerana kehilangan biodiversiti global yang disebabkan oleh perindustrian manusia adalah jauh lebih membimbangkan daripada yang disangka sebelum ini.
Mereka mendapati 48 peratus spesies di Bumi sedang mengalami penurunan dalam saiz populasi, manakala kurang daripada tiga peratus daripada spesies itu semakin meningkat dalam saiz populasi.
Tahap kepupusan spesies secara tradisinya diukur oleh kategori pemuliharaan ancaman Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang mendapati bahawa 28 peratus kehidupan di bumi kini diancam kepupusan.
Bagaimanapun, kajian baharu itu menggunakan analisis berskala global bagi pengukuran risiko kepupusan yang berbeza, iaitu "trend populasi".
Penyelidik mendapati tahap krisis kepupusan adalah jauh lebih teruk daripada yang ditunjukkan oleh pengukuran tradisional berdasarkan kategori ancaman.
Mereka juga mendapati bahawa 33 peratus spesies yang pada masa ini dianggap "selamat" oleh IUCN sebenarnya semakin berkurangan ke arah risiko kepupusan.
Dalam pada itu, analisis mendapati kekurangan spesies dengan peningkatan populasi menunjukkan bahawa spesies lain tidak berkembang untuk menggantikan spesies pupus dalam ekosistem.
"Kaedah kajian baharu dan analisis berskala global ini memberikan gambaran lebih jelas tentang tahap sebenar hakisan biodiversiti global yang tidak dapat ditawarkan oleh pendekatan tradisional," kata pensyarah kanan biologi evolusi dan makroekologi Queen's University Belfast, Dr Daniel Pincheira-Donoso.
Kehilangan biodiversiti global dilihat sebagai satu cabaran paling serius kepada manusia untuk dekad akan datang, menjejaskan fungsi ekosistem, pengeluaran makanan, penyebaran penyakit dan kestabilan ekonomi global.
-- BERNAMA
#Jerman #fungsi ekosistem #pengeluaran makanan #penyebaran penyakit