Hampir lapan juta penduduk Sudan Selatan berdepan masalah kebuluran
Faida Rahim
November 3, 2022 21:56 MYT
November 3, 2022 21:56 MYT
KHARTOUM: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan dianggarkan hampir lapan juta penduduk di Sudan Selatan atau dua pertiga daripada penduduk berdepan risiko kebuluran.
Memetik laporan TRT News, berlaku peningkatan kes kebuluran dan kekurangan zat makanan di kawasan banjir, kemarau dan daerah dilanda konflik di Sudan Selatan yang menunjukkan masalah akan berterusan jika bantuan kemanusiaan tidak disegerakan dan langkah penyesuaian iklim tidak dipertingkatkan.
Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, dana kanak-kanak Persatuan Bangsa Bersatu (PBB UNICEF) dan Program Makanan Sedunia memaklumkan kadar penduduk yang menghadapi masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan berada pada tahap kritikal sekali gus melepasi tahun 2013 dan 2016.
Difahamkan, seramai 7.76 juta orang mungkin berdepan masalah kekurangan makanan yang parah bermula April hingga Julai 2023 manakala 1.4 juta kanak-kanak akan mengalami kekurangan zat makanan.
Keadaan semakin teruk.
Isu gabungan konflik iaitu makroekonomi lemah, perubahan iklim melampau, kos makanan dan bahan api yang meningkat serta pengurangan kos biaya untuk program kemanusiaan turut menyumbang dalam masalah ini.
Dalam sebuah kenyataan, pemangku pengarah Program Makanan Sedunia (WFP) Sudan Selatan memaklumkan pihaknya berada dalam keadan berjaga bagi mencegah dan menghalang kebuluran sepanjang tahun tetapi masih tidak mencukupi.
"Sudan Selatan berada di kemuncak krisis iklim. Saban hari, ramai keluarga kehilangan tempat tinggal, lembu, ladang disebabkan cuaca ekstrem.
"Tanpa bantuan makanan kemanusiaan, jutaan penduduk bakal berada dalam keadaan semakin teruk yang mana mereka tidak dapat menyediakan makanan paling asas untuk keluarga,” katanya.
Sebagai salah satu negara termiskin di dunia, Sudan Selatan telah menghabiskan separuh hayat penduduk berdepan dengan perang saudara yang berlarutan selama lima tahun sehingga mengorbankan sebanyak 400,000 nyawa.
Perbalahan itu turut menyebabkan empat juta penduduk hilang tempat tinggal dan memaksa mereka meninggalkan negara itu sehelai sepinggang.
Menurut laporan bulan lalu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan kira-kira 909,000 orang dilaporkan terjejas akibat banjir di Sudan Selatan yang memusnahkan tanaman dan rumah.