Hampir 500 petugas kesihatan terkorban sejak serangan Israel ke atas Gaza

Bernama
Ogos 11, 2024 10:20 MYT
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan hampir 500 petugas kesihatan telah terbunuh dan ratusan lagi cedera sejak Israel menyerang Gaza pada Oktober tahun lepas. -Gambar fail/Reuters
RAMALLAH: Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan hampir 500 petugas kesihatan telah terbunuh dan ratusan lagi cedera sejak Israel menyerang Gaza pada Oktober tahun lepas.
Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan bahawa kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu menyatakan lebih daripada 310 petugas telah ditawan dan 130 ambulans telah dimusnahkan oleh tentera pendudukan Israel di Gaza.
Selain itu, ia berkata kemudahan kesihatan dan kakitangannya di Tebing Barat telah menghadapi lebih daripada 340 serangan tentera Israel sepanjang tempoh yang sama.
Kementerian menegaskan bahawa serangan yang sengaja disasarkan terhadap infrastruktur perubatan oleh tentera pendudukan Israel telah menghalang akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan penting.
Keadaan yang semakin teruk berkaitan air dan sanitasi, ditambah pula dengan kepadatan penduduk, telah menyebabkan peningkatan penyakit yang boleh dicegah dan kematian pramatang, menurut kenyataan itu.
"Gaza kini berdepan bencana kesihatan awam akibat sumber air yang tidak selamat dan kekurangan keperluan asas kebersihan bagi lebih daripada 1.7 juta individu yang dipaksa meninggalkan kediaman mereka," katanya.
Kenyataan itu turut menyatakan mengenai kekurangan kritikal petugas kesihatan dan bekalan perubatan, termasuk anestesia dan antibiotik yang menyebabkan penyedia perkhidmatan kesihatan bergelut untuk menyelamatkan nyawa.
Kementerian itu menyeru bantuan kemanusiaan tanpa syarat bagi menangani kekurangan yang teruk serta membantu dalam pemindahan mangsa yang cedera untuk menerima rawatan perubatan menyelamatkan nyawa di luar negara.
-- BERNAMA
#Gaza #petugas kesihatan #Palestin #Israel