Hampir 4,000 rakyat Gaza hilang tangan, kaki

Astro Awani
September 14, 2024 07:45 MYT
WHO mendedahkan, ribuan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam golongan yang cedera teruk dan ramai yang mengalami lebih daripada satu kecederaan. - Foto fail/REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, satu perempat daripada mangsa yang cedera dalam perang di Gaza, mengalami kehilangan upaya yang akan menjejaskan kehidupan mereka di masa depan.
Jelas agensi itu menerusi wakilnya, Rik Peeperkorn, ada antara mangsa kudung di kaki atau tangan, sementara sebahagian yang lain terpaksa menjalani proses pemulihan yang lama.
Kata beliau, sekurang-kurangnya 22,500 daripada penduduk awam yang cedera di Gaza dalam tempoh 11 bulan sejak perang meletus perlu menjalani pemulihan yang akan mengambil masa bertahun-tahun.
Ujarnya, kenaikan mendadak dalam proses ini diperlukan ketika sistem kesihatan terjejas akibat konflik yang berterusan.
Merujuk kepada analisis terkini tentang jenis kecederaan akibat konflik tersebut, WHO mendedahkan, ribuan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam golongan yang cedera teruk dan ramai yang mengalami lebih daripada satu kecederaan.
Jelas analisis berkenaan, sebanyak 13,455 hingga 17,550 kecederaan anggota badan yang serius dilaporkan dengan antara 3,105 hingga 4,050 daripadanya hilang tangan atau kaki.
Kecederaan lain termasuk melibatkan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik dan melecur teruk.
Pada masa sama, jelas WHO, hanya 17 daripada 36 hospital di Gaza kini berfungsi ketika perkhidmatan penjagaan kesihatan utama sering terjejas akibat perang yang berterusan.
#WHO #Gaza #kehilangan upaya #perang
;