Hampir 26 juta orang di Sudan alami krisis makanan yang teruk - PBB

Bernama
Julai 24, 2024 04:15 MYT
Orang ramai berkumpul untuk mendapat bantuan makanan yang diedarkan sukarelawan di Omdurman, Sudan, 3 Sept 2023. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Selasa menyuarakan kebimbangan mengenai situasi makanan yang semakin kritikal di Sudan.
Beliau berkata bahawa hampir 26 juta penduduk Sudan termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak mengalami masalah kekurangan makanan yang teruk.
Daripada jumlah itu, 750,000 orang berada di ambang kebuluran, yang diukur sebagai fasa lima dalam Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
"Rakyat Sudan kini berdepan dengan senario terburuk," kata Dujarric.
Sudan berdepan krisis akibat pertempuran antara angkatan tentera pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Rapid Support Forces (RSF) yang diketuai bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo.
Sekurang-kurangnya 12,260 orang terbunuh dan lebih 33,000 cedera sejak konflik tercetus pada April 2023, menurut angka PBB.
Krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan hampir 6.8 juta orang terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di dalam negara atau di negara-negara jiran.
Beberapa perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat gagal menghentikan keganasan.
-- BERNAMA
#Sudan #krisis makanan #PBB #kebuluran
;