Hampir 20 peratus wilayah Indonesia mula alami musim kemarau

Bernama
Mei 29, 2024 05:15 MYT
Kira-kira 19 peratus wilayah Indonesia, termasuk Aceh, Sumatera Utara, Riau serta pantai utara dan selatan Jawa dan Bali, kini mengalami permulaan musim kemarau yang dijangka berterusan sehingga September. - Foto fail/REUTERS
JAKARTA: Kira-kira 19 peratus wilayah Indonesia, termasuk Aceh, Sumatera Utara, Riau serta pantai utara dan selatan Jawa dan Bali, kini mengalami permulaan musim kemarau yang dijangka berterusan sehingga September.

Ringkasan AI
  • Musim Kemarau: 19% wilayah Indonesia, termasuk Aceh dan Bali, mengalami kemarau hingga September.
  • Langkah Kewaspadaan: BMKG mengesan titik panas dan menasihatkan mengisi takungan air di kawasan berisiko kebakaran.
  • Impak Kebakaran: Pada 2023, hampir satu juta hektar tanah terbakar, paling teruk di Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah, dan Sumatera Selatan.

Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Dwikorita Karnawati meramalkan bahawa musim kemarau akan menjangkau ke Lampung, Kepulauan Jawa, Bali, Nusa Tenggara Timur dan sebahagian Sulawesi Selatan dan Tenggara menjelang Ogos.
"Kami telah mengesan titik panas awal di kawasan yang terdedah kepada kebakaran, menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap potensi tahap berisiko sederhana hingga tinggi," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
BMKG turut menasihatkan pihak berkuasa tempatan untuk mengisi semula takungan di kawasan yang terdedah kepada kemarau dan meningkatkan paras air bawah tanah di kawasan yang mudah terbakar, terutamanya di tanah gambut.
Pihak berkuasa tempatan digesa memastikan ketersambungan rangkaian pengairan yang mencukupi dari takungan ke kawasan yang terjejas kemarau untuk memudahkan usaha pengubahsuaian cuaca yang berkesan dan mengurangkan potensi bencana berkaitan kemarau.
Pada tahun 2023, kebakaran telah memusnahkan hampir satu juta hektar tanah di Indonesia akibat cuaca panas yang membara dan pembersihan tanah untuk ladang baru, menurut data Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan.
Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah, dan Sumatera Selatan muncul sebagai wilayah paling teruk terjejas akibat kebakaran, masing-masing seluas 187,574 hektar, 114,576 hektar dan 109,460 hektar.
-- BERNAMA
#Indonesia #kemarau #September #Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika
;