Hampir 20,000 pekerja Amazon dijangkiti COVID-19
Bernama
Oktober 2, 2020 20:15 MYT
Oktober 2, 2020 20:15 MYT
ANKARA: Amazon berkata, sejak Mac hampir 20,000 pekerjanya dijangkiti COVID-19, lapor Agensi Anadolu.
Menerusi blognya, Amazon pada Khamis mendedahkan, 19,816 pekerja diuji atau disyaki positif dijangkiti virus itu.
"Kami telah menjalankan analisis data secara menyeluruh mengenai semua 1,372,000 petugas barisan hadapan Amazon dan di Whole Foods Market seluruh Amerika Syarikat (AS) yang bekerja dari 1 Mac hingga 19 September 2020," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan syarikat itu tidak menyatakan jumlah kematian.
Tetapi, sekurang-kurangnya 10 pekerja Amazon meninggal dunia akibat COVID-19, yang disahkan Amazon, menurut laporan NBC News.
Laporan itu juga mengatakan data sekitar 500,000 pekerja Amazon di 110 kemudahan di seluruh AS sedang dikumpulkan.
Memandangkan pengguna beralih kepada membeli-belah dalam talian, Amazon mengumumkan pada 14 September pihaknya akan mengupah 100,000 pekerja baharu di seluruh AS dan Kanada.
Sejak tahun 2020, syarikat itu telah membuka lebih 75 pusat penyimpanan dan pengagihan baharu, hab udara serantau serta stesen penghantaran di seluruh AS dan Kanada.
Syarikat ini mempunyai lebih 175 gudang penyimpanan barang di seluruh dunia di samping 110 kemudahan operasi.
Amazon turut menyediakan pelitup muka, pensanitasi tangan serta pemeriksaan suhu badan dan pekerja mendapat faedah kesihatan menyeluruh mulai hari pertama seseorang itu didiagnosis COVID-19, selain diberi cuti sehingga dua minggu dengan gaji penuh dan beberapa lagi faedah lain. - BERNAMA