Hampir 2,300 wartawan terbunuh sejak 1990

Astro Awani
Januari 31, 2016 11:58 MYT
Situasi berbahaya seperti revolusi Tunisia, Libya, Yaman dan Syria menyebabkan ramai wartawan terbunuh. - Gambar fail
Sejak 25 tahun lalu, hampir 2,300 wartawan dan petugas media dari seluruh dunia terbunuh ketika bertugas.
Memetik laporan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), muka surat 79 mendedahkan, secara keseluruhannya, 2,297 wartawan maut dengan jumlah tidak kurang 100 nyawa dilaporkan terbunuh sejak 2010.
"Mengikut kiraan kami, lebih 2,300 petugas terbunuh sejak 1990 dan negara paling teruk adalah Iraq susulan peperangan dengan Amerika Syarikat dan British. Selepas itu adalah Filipina. Dua negara ini adalah yang terburuk untuk profesion itu (wartawan)," jelas Setiausaha Agung IFJ, Anthony Bellanger.
Jelasnya, 10 tahun kebelakangan ini adalah tempoh yang terburuk kepada petugas media dan wartawan.
Di Iraq dan rantau Asia Pasifik serta di Asia Barat misalnya, situasi berbahaya seperti revolusi Tunisia, Libya, Yaman dan Syria menyebabkan ramai wartawan terbunuh.
Iraq dikelaskan sebagai negara paling berbahaya buat wartawan dengan 309 orang petugas dilaporkan terbunuh sejak tahun 1990.
Sementara itu, Filipina menyusul dengan merekodkan 146 nyawa dan diikuti Mexico dengan 120 nyawa terkorban dalam tempoh sama.
#IFJ #perang Iraq #Persekutuan Wartawan Antarabangsa #wartawan terbunuh
;