Hampir 1,000 bangunan musnah akibat letusan gunung berapi di Kepulauan Canary
Bernama
Oktober 5, 2021 12:26 MYT
Oktober 5, 2021 12:26 MYT
MADRID: Lava dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma di Kepulauan Canary telah melitupi sekitar 400 hektar tanah dan memusnahkan hampir 1,000 bangunan, menurut Jabatan Keselamatan Negara Sepanyol dan sistem Copernicus Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Copernicus itu adalah maklumat terkini setakat Isnin sementara menunggu penilaian baharu melalui gambar satelit dilakukan, lapor Agensi Berita Itali (ANSA).
Hampir 30 hektar laut telah dipenuhi dengan lava.
Pada petang Ahad, sebahagian puncak utama gunung berapi itu runtuh (dianggap normal oleh pakar) menyebabkan peningkatan aliran lava, kata pakar gunung berapi kepada media Sepanyol.
Pemantauan awal menunjukkan lava dan batuan yang melebur mengalir ke arah lokasi yang sama seperti sebelum ini, dan belum ada laporan mengenai kawasan baharu.
Pada Ahad, Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan kira-kira 200 juta euro diperuntukkan untuk membantu "pembinaan semula" La Palma.
-- BERNAMA