Hamas ucap terima kasih kepada Qatar hantar bantuan perubatan
Astro Awani
Januari 13, 2024 07:40 MYT
Januari 13, 2024 07:40 MYT
GAZA: Hamas berterima kasih kepada Qatar kerana menghantar bantuan perubatan ke Semenanjung Gaza ketika pelbagai risiko mengancam nyawa penduduk Palestin.
Kata pegawai kanannya, Osama Hamda, sebahagian daripada bekalan ubat akan digunakan untuk merawat tahanan Israel.
Israel sebelum ini menawarkan untuk menghantar bantuan ke Gaza untuk tebusan yang ditahan Hamas,
namun ia ditolak Hamas.
"Terdapat dua masalah. Pertama kami percaya, penduduk kami lebih memerlukan ubat-ubatan. Kedua, wujud masalah keselamatan ketika ini, dan ia tidak boleh disembunyikan daripada sesiapapun, dan tahap sensitif dengan isu tahanan.
"Kerana ini tindak balas kami adalah kami mahu merawat mereka dengan menggunakan bekalan ubat sedia ada yang sampai kepada penduduk kami.
"Terima kasih kepada saudara kami di Qatar yang mengambil inisiatif untuk menghantar bekalan ketika bahaya mengancam nyawa penduduk kami. Sebahagian ubat yang diterima akan digunakan untuk merawat tahanan Israel," katanya.
Israel memeterai perjanjian dengan Qatar pada Jumaat untuk membenarkan penghantaran bantuan ubat-ubatan kepada penduduknya yang ditahan Hamas.