Hamas terima cadangan AS runding tebusan - Laporan
Astro Awani
Julai 7, 2024 09:00 MYT
Julai 7, 2024 09:00 MYT
DUBAI: Hamas telah menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel, 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan menamatkan perang Gaza.
Menurut sumber kanan Hamas, pihaknya telah menggugurkan tuntutan agar Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum menandatangani perjanjian itu.
Hamas juga akan membenarkan rundingan pencapaiannya sepanjang fasa pertama enam minggu.
Dalam pada itu, seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha damai pengantara antarabangsa berkata, cadangan itu boleh membawa kepada perjanjian rangka kerja jika diterima oleh Israel dan akan menamatkan perang sembilan bulan antara Israel dan Hamas di Gaza.
Sementara itu, sumber dalam pasukan perunding Israel berkata, kini terdapat peluang sebenar untuk mencapai persetujuan.
Jelasnya, ia sangat berbeza dengan kejadian masa lalu dalam perang sembilan bulan di Gaza, apabila Israel berkata, syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.
Pada Jumaat, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, rundingan akan diteruskan minggu depan dan menekankan bahawa jurang antara kedua-dua pihak masih kekal.
Seorang pegawai AS pula menambah, terdapat kemajuan sebenar tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan.
Cadangan baharu itu memastikan pengantara akan menjamin gencatan senjata sementara, penghantaran bantuan dan pengunduran tentera Israel selagi rundingan tidak langsung terus melaksanakan fasa kedua perjanjian itu.
Usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza telah dipergiat sejak beberapa hari lalu dengan diplomasi ulang-alik yang aktif antara Washington, Israel dan Qatar, yang mengetuai usaha pengantaraan dari Doha, di mana kepimpinan Hamas berpusat.
Sumber serantau berkata, pentadbiran AS sedang berusaha keras untuk mendapatkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Presiden pada November.