Hamas terima cadangan gencatan senjata di Gaza, Israel tidak setuju

Agensi
Mei 6, 2024 06:20 MYT
Rakyat Palestin di selatan Semenanjung Gaza meraikan pengumuman Hamas menerima cadangan gencatan senjata seperti dikemukakan oleh perantara Qatar dan Mesir. - Gambar REUTERS
PASUKAN pejuang Palestin, Hamas bersetuju menerima cadangan gencatan senjata di Gaza yang seperti yang dikemukakan oleh perantara Qatar dan Mesir walaupun Israel berkata cadangan itu tidak memenuhi tuntutannya.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi, Hamas berkata, pemimin paling kanan pasukan berkenaan, Ismail Haniyeh sudah berhubung dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahan Al Thani dan Menteri Perisikan Mesir, Abbas Kamel bagi memaklumkan persetujuan Hamas terhadap cadangan perjanjian gencatan senjata itu.
Di sebalik persetujuan Hamas itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula memberitahu, perjanjian yang dicadangkan itu tidak memenuhi tuntutan Israel.
Susulan itu, Israel, tegas Netanyahu, akan menghantar delegasi untuk bertemu dengan perantara.
“Walaupun cadangan Hamas jauh daripada keperluan yang diperlukan Israel, Israel akan menghantar delegasi bertemu perantara untuk mengurangkan kemungkinan mencapai persetujuan di bawah syarat yang boleh diterima oleh Israel,” katanya dalam catatan di X.
Sebelum Israel berkongsi keputusan tidak setuju itu, rakyat Palestin telah meraikan pengumuman Hamas.
Di Tel Aviv misalnya, keluarga tebusan dan penyokong mereka merayu para pemimpin Israel untuk menerima perjanjian itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Hamas berkata ia tidak akan berundur daripada tuntutannya dalam cadangan terbaharu termasuk "gencatan senjata, penarikan sepenuhnya, pertukaran bermaruah, pembinaan semula dan penarikan sekatan."
Sementara itu, seorang anggota Kabinet Perang Israel, Benny Gantz pula berkata, terdapat "jurang yang ketara" antara tuntuan Israel dan Hamas.
"Walaupun begitu, kami akan terus mengenal pasti segala kemungkinan dan satu delegasi akan berkunjung ke Kaherah," katanya.
Dalam perkembangan sama, White House pada Isnin mengesahkan terdapat "maklum balas daripada Hamas" kepada perjanjian tebusan yang dicadangkan di Israel.
Presiden AS, Joe Biden juga telah diberi taklimat mengenai maklum balas Hamas itu, tetapi enggan memberi perincian berhubung kandungan perjanjian itu. - Agensi
#gencatan senjata #Perang Palestin-Israel #Benjamin Netanyahu #Hamas
;