Hamas tangguh pembebasan tebusan, tentera Israel diarah ‘bersiap sedia’

Agensi
Februari 10, 2025 07:10 MYT
Tebusan Israel, Eli Sharabi yang ditahan oleh Hamas di Gaza sejak 7 Oktober 2023 dibebaskan pada 8 Februari lalu dikawal ketat oleh pejuang Hamas sebelum diserahkan kepada Palang Merah di Deir al-Balah, kawasan tengah Semenanjung Gaza. – Gambar AP
GAZA: Pasukan pejuang Palestin, Hamas mengancam untuk menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di sini, pada Sabtu ini "sehingga diberitahu kelak," dengan mendakwa Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata.
Israel menggambarkan ancaman penangguhan itu sebagai "pelanggaran sepenuhnya terhadap gencatan senjata" dan mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk "sebarang kemungkinan" di Gaza.
Dalam satu hantaran di X pada Isnin, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, Abu Obeida berkata, penyerahan tebusan "yang dijadualkan dibebaskan Sabtu ini... akan ditangguhkan sehingga diberitahu kelak dan sehingga penjajah menunaikan serta memberi pampasan atas hak-hak yang tertunggak dalam beberapa minggu lepas."
Beliau menambah: "Kami mengesahkan komitmen kami terhadap terma perjanjian selagi penjajah mematuhinya."
Namun, dalam kenyataan susulan, Hamas berkata, masih ada peluang untuk pembebasan itu diteruskan seperti yang dirancang.
Ia menyatakan langkah tersebut "sebagai amaran" kepada Israel dan bertujuan memberi tekanan agar "mematuhi sepenuhnya" terma perjanjian gencatan senjata.
"Dengan mengeluarkan kenyataan ini lima hari sebelum penyerahan tebusan dijadualkan, Hamas mahu memberi masa yang mencukupi kepada para perantara untuk mendesak penjajah memenuhi tanggungjawab mereka," menurut kenyataan itu.
"Ini juga membuka peluang agar pertukaran dapat diteruskan seperti yang dirancang, sekiranya penjajah mematuhi syarat."
Abu Obeida menggariskan pelbagai pelanggaran perjanjian yang didakwa dilakukan Israel dalam tempoh tiga minggu lalu termasuk "melewatkan kepulangan penduduk yang dipindahkan ke utara Gaza, menyerang mereka dengan tembakan dan bedilan di pelbagai kawasan serta tidak membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan sepenuhnya seperti yang dipersetujui."
Hamas turut menuduh Israel menghalang kemasukan khemah, rumah pasang siap, bahan api dan jentera pembersihan runtuhan serta melambatkan penghantaran ubat-ubatan penting dan bekalan hospital.
Sebagai maklus balas terhadap pengumuman Hamas, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata, beliau telah mengarahkan tentera negara itu "bersiap sedia pada tahap tertinggi untuk sebarang kemungkinan di Gaza."
Menteri Pertahanan itu menyifatkan tindakan Hamas sebagai "pelanggaran sepenuhnya terhadap perjanjian gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan."
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) kemudian mengumumkan bahawa mereka "meningkatkan tahap kesiapsiagaan di selatan Israel dan menangguhkan cuti untuk askar tempur" serta akan memperkukuhkan kawasan itu bagi meningkatkan "kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kemungkinan."
Seorang pegawai Israel memberitahu CNN pada Isnin Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang berunding dengan pasukan keselamatan beliau dan mesyuarat Kabinet keselamatan politik yang dijadualkan pada pukul 7 malam Selasa waktu tempatan telah diawalkan ke waktu pagi berikutan pengumuman Hamas tersebut.
‘Masa adalah kritikal’
Ancaman Hamas untuk menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya merupakan cabaran serius terhadap gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas - namun ini tidak menjamin perjanjian tersebut akan terlerai.
Ancaman itu muncul pada waktu yang sangat sensitif di Israel, di mana imej tiga tebusan yang kelihatan lemah ketika dibebaskan pada Sabtu membibitkan kesedaran awam selain mencetuskan rasa tergesa-gesa untuk membebaskan mereka yang masih ditawan di Gaza.
Kerajaan Israel juga dilihat lambat untuk menyambung semula rundingan dengan Hamas mengenai lanjutan gencatan senjata semasa, manakala ahli politik sayap kanan sudah mula mendesak agar perang di Gaza diteruskan.
Sementara itu, cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin secara kekal dari Gaza dan menjadikan wilayah itu "milik" Amerika Syarikat menambah lagi ketidakpastian dalam proses ini.
Menunjukkan betapa seriusnya situasi ini, penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv pada Isnin malam, menuntut semua tebusan yang masih ditahan dibebaskan dan menuduh Netanyahu mensabotaj perjanjian tersebut.
"Kerajaan Israel baru sahaja menggagalkan perjanjian ini. Perdana menteri baru sahaja menggagalkan perjanjian ini dan tebusan tidak dijangka akan pulang pada Shabbat. Kami tidak boleh menerima perkara ini," kata Danny Elgarat, abang kepada Itzhak Elgarat, 69, dalam satu video yang dilihat CNN.
Itzhak sepatutnya dibebaskan di bawah fasa pertama perjanjian Gaza, menurut kerajaan Israel.
Walaupun ancaman Hamas ini serius, ini bukan kali pertama aduan dikemukakan kepada para perantara.
Hamas dan Israel saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian sepanjang fasa pertama perjanjian tersebut. Aduan sebelum ini akhirnya dapat diselesaikan.
Sebagai contoh, ancaman Israel untuk menangguhkan kepulangan penduduk Palestin ke utara Gaza - yang dilaksanakan akhirnya diselesaikan melalui perbincangan dengan para perantara.
Berikutan berita ini, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang berkata, mereka telah meminta bantuan segera daripada negara perantara untuk "membantu memulihkan dan melaksanakan" perjanjian gencatan senjata.
"Kami berdiri bersama kerajaan Israel dan menggalakkan mengekalkan syarat-syarat yang akan memastikan kejayaan berterusan perjanjian ini, yang membawa kepada kepulangan selamat 76 saudara kami," kata forum itu.
"Bukti terkini daripada mereka yang dibebaskan, serta keadaan mengejutkan tebusan yang dibebaskan Sabtu lalu, tidak meninggalkan sebarang keraguan," kata kenyataan itu.
"Masa sangat kritikal, dan semua tebusan mesti diselamatkan segera dari situasi yang mengerikan ini."
Puluhan tebusan masih ditahan di Gaza
Hamas membebaskan tiga tebusan pada Sabtu lalu dalam pertukaran tebusan terkini sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari.
Sebagai balasan, Israel membebaskan 183 tahanan Palestin dengan 18 daripadanya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Majoriti daripada mereka telah ditahan di Gaza sejak 7 Oktober 2023 tanpa sebarang tuduhan awam.
Hamas kini telah membebaskan sejumlah 16 tebusan Israel sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata, daripada 33 tebusan yang dijanjikan akan dibebaskan secara berperingkat dalam fasa ini.
Lapan daripada 33 orang itu disahkan telah meninggal dunia, menurut kerajaan Israel.
Selepas pembebasan tiga tebusan pada Sabtu, Hamas dan sekutunya masih menahan 73 orang yang diculik dari Israel pada 7 Oktober 2023, daripada 251 orang yang diculik pada asalnya.
Tiga tebusan tambahan, yang ditahan sejak 2014, masih berada di Gaza.
Persoalannya kini: Bagaimana kerajaan Israel akan bertindak balas terhadap ancaman Hamas ini? - Agensi
#Hamas #tebusan Israel #perang Hamas-Israel #gencatan senjata
;