Hamas serahkan dua tebusan Israel kepada wakil ICRC - Laporan
Bernama
Februari 1, 2025 17:36 MYT
Februari 1, 2025 17:36 MYT
BEIRUT: Pergerakan Palestin Hamas, telah membebaskan dua tebusan Israel, Ofer Calderon dan Yarden Bibas, dengan menyerahkan mereka kepada wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bandar Khan Yunis, menurut laporan agensi berita Lubnan, Al Mayadeen, yang dipetik oleh Sputnik/RIA Novosti pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Hamas membebaskan dua tebusan Israel dan menyerahkan mereka kepada wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Khan Yunis.
- Israel akan membebaskan 90 tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
- Gencatan senjata selama 42 hari dicapai dengan perantaraan Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat untuk menamatkan pertempuran yang telah meragut banyak nyawa.
Menurut laporan itu, seorang lagi tebusan akan dibebaskan kemudian pada hari yang sama di kawasan pelabuhan Gaza.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan pemindahan tersebut dan memaklumkan bahawa kedua-dua tebusan kini dalam perjalanan pulang.
"Kedua-dua tebusan yang dibebaskan kini sedang diiringi oleh pasukan khas IDF dan Agensi Keselamatan Israel (ISA) dalam perjalanan pulang ke wilayah Israel, yang mereka akan menjalani pemeriksaan perubatan awal," menurut IDF.
Israel akan membebaskan 90 tahanan Palestin pada Sabtu, termasuk sembilan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Israel dan Hamas, dengan perantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, mencapai persetujuan pada 15 Jan untuk melaksanakan gencatan senjata selama 42 hari dan menyatakan hasrat untuk menamatkan pertempuran yang telah meragut lebih 47,000 nyawa rakyat Palestin serta kira-kira 1,500 warga Israel dalam tempoh 15 bulan.
-- BERNAMA