Hamas sedia laksana gencatan senjata tanpa syarat tambahan
Astro Awani
September 12, 2024 09:20 MYT
September 12, 2024 09:20 MYT
DOHA: Pejuang Hamas mengesahkan wakil perundingnya mengulangi kesediaan untuk melaksanakan gencatan senjata segera dengan Israel di Gaza berdasarkan cadangan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini tanpa syarat baharu daripada mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Hamas berkata, pasukan perunding yang diketuai pegawai kanannya, Khalil Al-Hayya bertemu pengantara termasuk Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir Abbas Kamel di Doha untuk membincangkan perkembangan terkini di Gaza.
Rundingan setakat ini gagal mencapai kesepakatan untuk menamatkan perang selama 11 bulan itu.
Isu berlarutan termasuk kawalan Koridor Philadelphi iaitu kawasan sempit di sempadan Gaza dengan Mesir.
Sabtu lalu, pengarah CIA, William Burns, yang juga ketua perunding AS mengenai Gaza berkata, cadangan gencatan senjata yang lebih terperinci akan dibuat dalam beberapa hari akan datang.
Cadangan sebelum ini yang dikemukakan oleh Presiden AS, Joe Biden pada Jun lalu meletakkan gencatan senjata tiga fasa sebagai balasan kepada pembebasan tebusan Israel.
Serangan Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 41,084 rakyat Palestin dan mencederakan 95,029 yang lain.