Hamas perlu terima cadangan Biden demi keamanan - Menteri Luar UK
Astro Awani
Jun 1, 2024 08:00 MYT
Jun 1, 2024 08:00 MYT
MENTERI Luar United Kingdom David Cameron senada dengan Joe Biden dalam menggesa Hamas menerima cadangan perang Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat itu bagi pihak Israel.
Dalam satu catatan di Platform X pada Jumaat, Cameron berkata, pertempuran boleh dihentikan dan keamanan berterusan boleh dicapai sekiranya semua pihak sedia mengambil langkah yang betul.
Beliau juga menyeru agar konflik dan pertikaian yang berlaku dalam krisis antara Israel dan Hamas, segera ditamatkan.
"Dengan perjanjian tebusan baharu yang dibentangkan, Hamas mesti menerimanya supaya kita dapat menghentikan pertempuran, tebusan dibebaskan dan dikembalikan kepada keluarga mereka dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza.
"Seperti yang telah lama kita katakan, gencatan senjata boleh ditukar menjadi keamanan berkekalan jika kita semua sedia untuk mengambil langkah yang betul.
"Marilah kita rebut peluang ini dan tamatkan konflik ini," katanya.
Biden pada Jumaat menyeru Hamas supaya bersetuju dengan tawaran baharu daripada Israel untuk pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata Gaza.
Beliau menyifatkan ini adalah cara terbaik untuk mengakhiri konflik yang berpanjangan.
Manakala, Hamas pada Jumaat bertegas tidak akan meneruskan rundingan, ketika penduduk Palestin masih berdepan genosid.
Hamas mengulangi pendirian kepada pengantara bahawa perang perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum sebarang perjanjian dipersetujui.