Hamas kutuk insiden letupan di Iran sehingga lebih 100 maut
Agensi
Januari 3, 2024 07:15 MYT
Januari 3, 2024 07:15 MYT
PASUKAN pejuang Hamas mengutuk "serangan jenayah terbaharu" di bandar Kerman, Iran, pada Rabu sehingga menyebabkan lebih 100 orang maut.
Insiden yang berlaku berhampiran kubur komander Iran, Qasem Soleimani semalam disiaftkan pegawai kerajaan Iran sebagai serangan pengganas.
Menerusi mesej yang dikirim melalui aplikasi Telegram, Hamas dengan tegas berkata, pasukan pejuang itu secara mutlak menolak "semua tindakan pengganas yang mensasarkan orang awam dan berusaha untuk menjejaskan kestabilan dan keselamatan di Republik Islam."
Kumpulan itu juga mengaitkan tindakan ini sebagai "agenda entiti Zionis dan rancangan jahatnya yang menyasarkan keselamatan dan kepentingan rakyat di rantau ini."
Sehingga kini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.
Hamas turut memanjangkan ucapan takziah dan simpati kepada Republik Islam Iran dan keluarga mangsa selain mendoakan mangsa yang cedera segera sembuh.
Awal Rabu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matt Miller berkata, AS tidak terlibat dalam letupan di Iran dan negara itu juga "tiada sebab untuk mempercayai bahawa Israel juga terlibat."
Minggu lalu, Iran dan beberapa proksi bersenjatanya menuduh Israel membunuh seorang komander kanan Iran di Syria dan berikrar untuk membalas.
Sementara Israel tidak pula memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu. - CNN