Hamas desak pelaksanaan resolusi UNGA untuk bantu Gaza
Astro Awani
Oktober 28, 2023 07:00 MYT
Oktober 28, 2023 07:00 MYT
BEIRUT: Pergerakan Hamas desak supaya resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dilaksanakan segera.
Menurut pegawai kanannya, Ghazi Hamad, langkah itu akan memboleh bantuan kemanusiaan memasuki Gaza untuk mengelak bencana kemanusiaan, ketika Israel memperhebat serangan udara dan darat.
Ghazi dalam sidang media di Beirut sifatkan keputusan UNGA di sidang tergempar ke-10 pada Jumaat sebagai satu kemenangan buat penduduk Palestin.
"Kami mendesak komuniti antarabangsa, khususnya negara Arab dan negara-negara Islam untuk melaksanakan segera keputusan UNGA untuk menghantar bekalan minyak, barangan kemanusiaan dan bekalan perubatan kepada penduduk awam dan kami sifatkan ini satu kemenangan buat penduduk Palestin," katanya.
UNGA pada Jumaat menerima resolusi yang menyeru gencatan senjata segera selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.
Resolusi yang ditaja Jordan diluluskan oleh Perhimpunan Agung dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 tidak mengundi.
Walaupun resolusi itu tidak disifatkan tidak mengikat, namun ia membawa impak politik.