Hamas bersetuju laksana gencatan senjata kemanusiaan 24 jam

AFP
Julai 27, 2014 16:07 MYT
Hamas turut menolak cadangan lanjutan gencatan senjata 24 jam oleh kabinet rejim
Pergerakan Hamas dilaporkan telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan 24 jam di Gaza lapor AFP.
Pengumuman dibuat sejurus selepas Israel mengumumkan ia akan meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.
“Sebagai reaksi kepada pembabitan Pertubuhan Bangsa Bersatu, PBB yang memantau situasi, adalah dimaklumkan kami telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan 24-jam bermula dari 2:00 pm (1100 GMT),” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dalam satu kenyataan.
Persetujuan itu dicapai hanya beberapa jam sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Isnin.
Namun tiada sebarang reaksi di pihak Israel mengenai perkara itu sehingga kini.
Tentera Israel pada awalnya dilaporkan meneruskan serangan tidak berperikemanusiaannya ke atas bumi Gaza menerusi darat, laut dan udara sekaligus menamatkan gencatan senjata kemanusiaan selama 12 jam yang dicapainya dengan pergerakan Hamas sebelum ini.
Alasan yang diberikan adalah Hamas didakwa berterusan melancarkan serangan roket sewaktu berlangsungnya gencatan senjata itu, kata tentera Yahudi dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Menurut wartawan AFP, sejurus kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap tentera rejim Peter Lerner menerusi Twitter itu, beberapa letupan dapat didengar di Gaza termasuk di bahagian timur wilayah Palestin itu.
Pengumuman itu dibuat 10 jam selepas kabinet rejim mengundi meluluskan lanjutan gencatan senjata untuk 24 jam.
Cadangan itu bagaimanapun pada awalnya ditolak Hamas yang berkata rejim tidak komited untuk mengundurkan tenteranya dari bumi Palestin.
Angka korban di pihak Palestin kini melebih seribu orang sejak serangan besar-besaran dilancarkan tentera Yahudi 8 Julai lalu.
#Gaza #Israel #Mahmoud Abbas #Palestin #rejim
;