Hamas bebaskan dua tebusan wanita warga Amerika
Agensi
Oktober 20, 2023 06:00 MYT
Oktober 20, 2023 06:00 MYT
GAZA: Dua wanita Amerika Syarikat (AS) yang juga pasangan ibu dan anak dibebaskan pada Jumaat selepas dijadikan tawanan sejak 7 Oktober lalu oleh pasukan Hamas.
Berita pembebasan Judith Raanan dan anaknya, Natalie disahkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan itu, pemimpin tertinggi Angkatan tentera Israel, Brigadier Jeneral Gal Hirsch dan pegawai lain “menerima kedua-dua tebusan itu di sempadan Semenanjung Gaza” dan mereka kini sedang dalam perjalanan keluar untuk bertemu keluarga yang sedang menanti.
Israel menganggarkan masih terdapat sekitar 200 tebusan masih berada dalam tawanan Hamas di Gaza.
Media antarabangsa melaporkan, kedua-dua tebusan itu, Judith dan Natalie Raanan dibebaskan atas alasan kemanusiaan.
Ini kerana kesihatan ibu kepada Judith tidak mengizinkan selain Natalie yang akan meraikan majlis graduasi pengajian menengahnya.
Pembebasan dua beranak itu dibuat hasil rundingan antara Qatar dan Hamas yang bermula selepas Hamas menculik kira-kira 200 orang dari Israel pada 7 Oktober.
"Sebagai tindak balas terhadap usaha Qatar, Briged Al-Qassam telah membebaskan dua warganegara Amerika (seorang ibu dan anak perempuan) atas alasan kemanusiaan, dan untuk membuktikan kepada rakyat Amerika dan dunia bahawa dakwaan yang dibuat oleh Biden dan pentadbiran fasisnya adalah palsu dan tidak berasas," kata jurucakap Hamas, Abu Obaida, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut berkongsi perkembangan terkini mengenai pembebasan tawanan Judith dan Natalie Raanan.
Menurut Blinken, kedua-dua warganegara AS itu berada dengan selamat di bawah jagaan pihak berkuasa di Israel.
Kata Blinken, pegawai Amerika juga akan bertemu dengan mereka secepat mungkin.
Beliau turut memaklumkan, masih terdapat 10 warganegara AS yang masih tidak dapat dihubungi.
"Tiada keluarga di mana-mana tempat seharusnya mengalami siksaan ini," tegasnya. - Agensi