Hamas bebaskan 50 tawanan Israel, dibalas pembebasan 150 rakyat Palestin oleh zionis

Agensi
November 23, 2023 08:00 MYT
Gambar tebusan-tebusan Israel yang kini ditawan di Gaza oleh pasukan Hamas pada 7 Oktober lalu ditayangkan pada skrin di bandar Tel Aviv. – Gambar REUTERS
GAZA: Israel dan pasukan pejuang Hamas dari Palestin pada Rabu bersetuju untuk melancarkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza untuk tempoh masa sekurang-kurangnya empat hari.
Keputusan itu dicapai bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan manakala 50 tebusan Israel yang ditawan Hamas akan dibebaskan, manakala Israel pula akan membebaskan 150 rakyat Palestin yang dipenjarakan.
Gencatan senjata pertama selepas hampir tujuh minggu perang Palestin-Israel itu dicapai selepas peranan dimainkan oleh Qatar sebagai perantara, disambut baik oleh seluruh dunia sekali gus memberi petanda rakyat penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin akan reda, dan tawanan Israel pula akan dibebaskan.
Menteri-Menteri dari negara Arab memuji perjanjian yang dicapai, namun, menegaskan, ia adalah langkah awal ke arah gencatan sepenuhnya.
Israel berkata, gencatan itu boleh dipanjangkan sekiranya lebih banyak rakyatnya yang masih dalam tawanan dibebaskan, sementara sumber Palestin pula berkata, sehingga 100 tawanan berkemungkinan akan dibebaskan menjelang hujung bulan ini.
Hamas dan sekutu-sekutunya dikatakan menawan sekitar 240 tebusan Israel semasa pasukan pejuang itu menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.
Daripada jumlah berkenaan, hanya empat tebusan saja dibebaskan oleh Hamas sebelum ini.
Susulan serangan pada 7 Oktober lalu, Israel mendakwa, seramai 1,200 rakyatnya khususnya orang awam terbunuh.
Serangan balas tentera zionis Israel ke atas Hamas pula menyebabkan sehingga kini 14,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dengan 40 peratus daripada jumlah berkenaan terdiri daripada kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan di wilayah bergolak itu.
Gencatan senjata yang dipersetujui itu dijangka berkuat kuasa Khamis pagi, namun, masa untuk pelaksanaannya belum diputuskan.
“Bukan semua tebusan akan dibebaskan sekali gus, dianggarkan sekitar 50 tawanan atau lebih yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dibebaskan… pembebasan dijangka berlaku secara berperingkat sehingga 24 jam akan datang,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #gencatan senjata #Israel-Hamas #Hamas bebas tebusan
;