Hamas ancam lancar serangan roket terhadap Israel

Bernama
November 13, 2018 12:21 MYT
Sebuah letupan yang disebabkan serangan udara Israel ke atas stesen TV Al-Aqsa milik Hamas di Gaza. - AP
Hamas mengancam melancarkan lebih banyak serangan roket terhadap Israel, jika rejim zionis itu terus meningkatkan serangan udara di Semenanung Gaza, lapor Xinhua.
"Jika Israel terus cuba menceroboh lebih banyak kawasan, mereka akan berdepan serangan roket kami," kata jurucakap Briged Abu Sayeed al-Qassam, Abu Obeida pada Isnin.
Ketegangan antara Israel dan kumpulan militan di Gaza memuncak sejak malam Ahad, apabila 10 pejuang Palestin dan seorang pegawai tentera Israel terbunuh dalam pertempuran membabitkan kedua-dua pihak.
Pada petang Isnin, pesawat perang Israel memusnahkan tiga buah rumah milik pemimpin Hamas dan kawasan pembinaan saluran TV al-Aqsa milik Hamas di Gaza.
Media tempatan melaporkan Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang berusaha memulihkan keadaan di kawasan itu. Bagaimanapun, usaha gencatan senjata masih menemui jalan buntu.
-- BERNAMA
#Gaza #Hamas #Israel #Palestin #pesawat #serangan #tentera
;