Haley, Pompeo tidak sertai kabinet Trump

Agensi
November 10, 2024 15:15 MYT
Haley menunjukkan sokongan terhadap Trump sebagai presiden meskipun pernah lantang mengkritik Trump ketika bertanding dalam pilihan raya parti. - Gambar fail/ AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih Donald Trump memberitahu bekas calon presiden Parti Republikan, Nikki Haley, dan bekas Setiausaha Negara Mike Pompeo tidak akan dijemput untuk menyertai Kabinet pentadbirannya.
Pemimpin berusia 78 tahun itu memberitahu beliau amat menghargai kerjasama dengan dua individu itu sebelum ini serta menzahirkan penghargaan jasa mereka kepada AS.
"Saya tidak akan menjemput bekas duta Nikki Haley atau bekas Setiausaha Negara Mike Pompeo, untuk menyertai Pentadbiran Trump yang kini sedang dibentuk.
"Saya sangat menghargai dan menikmati waktu bekerja bersama mereka sebelum ini dan ingin mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan mereka kepada negara kita," katanya.
Haley, bekas gabenor Carolina Selatan yang pernah berkhidmat sebagai duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sokongan terhadap Trump sebagai presiden meskipun pernah lantang mengkritik Trump ketika bertanding dalam pilihan raya parti.
Dalam masa sama, Pompeo, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) di bawah pentadbiran Trump, dilaporkan sebagai calon Setiausaha Pertahanan dan dilihat sebagai calon presiden Republikan sebelum ini, namun beliau mengumumkan tidak bertanding, pada April 2023.
Rabu lalu, Trump mengisytiharkan kemenangannya selepas beliau mendahului keputusan awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Calon Parti Republikan (GOP) itu menerusi ucapannya di parti kempen di Florida menyifatkan rakyat negara itu bakal menyambut ketibaan zaman keemasan baharu.
#Donald Trump #kabinet #pilihan raya #Nikki Haley
;