Haley nafi akan cabar Trump pada pilihan raya 2020

Reuters
Oktober 9, 2018 07:18 MYT
Presiden Donald Trump bertemu dengan Nikki Haley di Oval Office pada 9 Okt 2018. - Foto AP/Evan Vucci
Nikki Haley mengumumkan peletakan jawatan sebagai Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa dan terus menepis spekulasi dia berbuat demikian untuk mencabar Presiden Donald Trump pada pilihan raya presiden 2020.
Bekas gabenor South Carolina itu berkata dia sangat berbangga diberi peluang berkhidmat di pentas PBB dan hanya akan berundur diri pada akhir tahun ini.
Haley yang berketurunan imigran India, merupakan antara individu berprofil tinggi dalam pentadbiran Trump dan sering disebut akan menjadi calon dalam pilihan presiden negara itu nanti.
Namun dalam surat peletakan jawatannya, Haley berkata dia tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu dan akan terus berkempen untuk Trump.
"Saya tidak akan bertanding pada 2020," katanya di Oval Office pada Selasa.
Walaupun Haley tidak beritahu dengan lebih lanjut sebab disebalik peletakan jawatan itu, Trump berkata Haley telah memaklumkan hasratnya itu enam bulan lalu kerana ingin berehat.
Selepas menerima peletakan jawatan Haley, Trump menyifatkan wanita berusia 46 itu sebagai seorang yang istimewa dan banyak menyelesaikan pelbagai masalah.
Trump turut berkata dia akan umumkan pengganti Haley dalam dua hingga tiga minggu lagi.
Antara nama yang Trump sedang timbangkan termasuk bekas eksekutif Goldman Sachs dan penasihat White House, Dina Powell.
#Dina Powell #Donald Trump #duta amerika syarikat #Nikki Haley #PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #South Carolina
;