Halang bantuan ke Gaza mungkin jenayah di bawah ICC
Astro Awani
Oktober 30, 2023 08:15 MYT
Oktober 30, 2023 08:15 MYT
KAHERAH: Menghalang bekalan bantuan kepada penduduk Gaza mungkin merupakan jenayah di bawah bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Perkara itu dinyatakan Pendakwa Raya Tertinggi ICC, Karim Khan pada sidang akhbar di Mesir, pada Ahad.
Khan juga berkata, Israel perlu melakukan usaha yang boleh dilihat tanpa berlengah untuk memastikan orang awam menerima makanan asas dan ubat-ubatan.
Bekalan bantuan ke Gaza adalah di tahap minimum sejak Israel mula mengebom kepung Palestin yang padat penduduk sejak 7 Oktober lalu.
Dalam lawatan tanpa sebarang pengumuman, pendakwa ICC turun padang ke persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza dan menyiarkan kenyataan video dari lokasinya di akaun media sosial X.
Khan berkata, beliau tidak dapat masuk ke Gaza tetapi berharap untuk melawat wilayah itu dan Israel semasa berada di rantau itu.
Mahkamah telah melakukan siasatan di wilayah Palestin sejak 2021, meneliti kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di sana mulai 2014 dan seterusnya.
Israel, yang bukan ahli ICC, sebelum ini telah menolak bidang kuasa mahkamah dan tidak terlibat secara rasmi dengan siasatannya.
Khan sebelum ini berkata, ICC mempunyai bidang kuasa ke atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di wilayah Gaza.