Hakim wanita Islam pertama AS ditemui mati di Sungai Hudson

Agensi
April 14, 2017 11:03 MYT
Mayat Sheila Abdus-Salaam, 65, ditemui terapung di bahagian barat Manhattan. - Columbia Law School/Handout via REUTER
Seorang hakim berkulit hitam yang menjadi hakim wanita Islam pertama di Amerika Syarikat ditemui mati di Sungai Hudson, lapor polis.
Sheila Abdus-Salaam, 65, ditemui terapung di bahagian barat Manhattan pada kira kira jam 1.45 petang waktu tempatan.
Polis menarik keluar mayat Abdus-Salaam yang masih berpakaian penuh dari sungai tersebut dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Lapor Reuters, mayatnya telah dikenal pasti oleh ahli keluarganya dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.
Abdus-Salaam yang berasal dari Washington DC menjadi wanita Afrika-Amerika yang pertama yang dilantik ke Mahkamah Rayuan apabila Gabenor Andrew Cuomo dari Parti Demokratik melantiknya ke Mahkamah Tinggi negeri itu pada 2013.
Menurut Princeton Encyclopedia of American Political History, Abdus-Salaam merupakan wanita Islam pertama untuk berkhidmat sebagai hakim AS.
Sebelum ini, New York Post melaporkan bahawa Abdus-Salaam dilaporkan hilang dari rumahnya di New York.
#hakim #Mahkamah Rayuan #Muslim #Sheila Abdus-Salaam #sungai hudson
;