Hakim tolak saman fitnah AS$475 juta Trump terhadap CNN
Bernama
Julai 30, 2023 23:21 MYT
Julai 30, 2023 23:21 MYT
MOSCOW: Hakim persekutuan menolak saman fitnah AS$475 juta oleh bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap CNN kerana melabel dakwaannya mengenai penipuan dalam pilihan raya sebagai "Pembohong Besar" selain mengaitkan beliau dengan pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.
"Walaupun frasa 'Pembohong Besar' mungkin boleh mendorong orang ramai untuk menganggap Trump 'seperti Hitler,' atau 'autoritarian,' istilah sedemikian bukanlah kenyataan yang tertakluk kepada undang-undang fitnah ... kenyataan CNN walaupun tidak bersesuaian, mengikut undang-undang bukanlah fitnah," kata Hakim Raag Singhal dalam keputusannya yang diedarkan oleh media AS.
CNN enggan mengulas mengenai keputusan itu.
Trump mendakwa berlaku penipuan dalam keputusan pilihan raya presiden 2020 di beberapa negeri AS dan merompak kemenangannya, selain mendakwa menjadi subjek kempen fitnah politik.
Pada Oktober 2022, Trump memfailkan saman terhadap CNN, mendakwa badan penyiar itu "memfitnahnya dengan membuat kenyataan membandingkannya dengan Hitler dan rejim Nazi" dan menuduhnya sebagai "Pembohong Besar."
-- BERNAMA