Hakim Jepun Yuji Iwasawa dilantik sebagai Presiden ICJ

Bernama
Mac 4, 2025 17:20 MYT
Yuji Iwasawa, yang berkhidmat sebagai hakim ICJ sejak Jun 2018, akan memegang jawatan itu sehingga 5 Februari 2027. - Foto: University of Virginia
BRUSSELS: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Isnin mengumumkan pelantikan seorang hakim dari Jepun sebagai presiden tribunal yang berpangkalan di The Hague, susulan peletakan jawatan Nawaf Salam pada Januari lalu, lapor Kyodo News.
Yuji Iwasawa, yang berkhidmat sebagai hakim ICJ sejak Jun 2018, akan memegang jawatan itu sehingga 5 Feb 2027, menggantikan Salam dari Lubnan yang meletakkan jawatan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri negaranya oleh Presiden Joseph Aoun.
Sebelum menyertai ICJ, Iwasawa merupakan profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Tokyo dan pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hakim berusia 70 tahun itu merupakan rakyat Jepun kedua yang menerajui ICJ, selepas Hisashi Owada yang pernah berkhidmat sebagai presiden mahkamah itu dari 2009 hingga 2012.
Mahkamah yang dianggotai 15 hakim itu merupakan organ kehakiman utama PBB, bertanggungjawab menyelesaikan pertikaian antarabangsa melibatkan sempadan serta mengeluarkan pendapat nasihat atas permintaan Perhimpunan Agung dan entiti lain dalam PBB.
-- BERNAMA
#hakim jepun #yuji iwasawa #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #ICJ #Presiden ICJ
;