Hakim bidas Donald Trump 'serang' kerani mahkamah di media sosial

Agensi
Oktober 3, 2023 07:00 MYT
Hakim Arthur Engoron (gambar) membidas Donald Trump selepas bekas Presiden Amerika Syarikat itu menyerang kerani beliau dalam satu catatan media sosial pada hari Selasa. - Gambar AP
NEW YORK: Hakim Arthur Engoron membidas Donald Trump selepas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyerang kerani beliau dalam satu catatan media sosial pada hari Selasa.
Dalam masa sama, Engorong melarang mana-mana pihak daripada membuat sebarang komen mengenai kakitangan beliau pada masa akan datang.
"Pagi ini, salah seorang defendan memuat naik hantaran yang merendah-rendahkan, tidak benar dan menamakan seorang kakitangan mahkamah saya di akaun media sosial.
“Walaupun saya telah memerintahkan agar hantaran tersebut dipadam dan nampaknya telah dipadamkan, ia turut dikrim melalui e-mel kepada jutaan penerima lain," kata hakim berkenaan di mahkamah.
"Serangan peribadi terhadap mana-mana kakitangan mahkamah saya adalah tidak dapat diterima, tidak wajar dan saya tidak akan sama sekali bertoleransi terhadap mereka,” tegas Hakim Engorong lagi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak bercakap apa-apa mengenai kakitangan mahkamah
secara terbuka di khalayak.
"Anggaplah kenyataan ini sebagai perintah yang melarang semua pihak daripada memuat naik, mengirim e-mel atau berbicara secara awam tentang mana-mana ahli kakitangan saya… kegagalan untuk mematuhi perintah ini... akan mengakibatkan hukuman serius," katanya.
Pada hari Selasa, Trump memuat naik hantaran di Truth Social menyerang seorang kerani Engoron dengan mendakwa beliau adalah "teman wanita" kepada pemimpin Majoriti Senat Chuck Schumer iaitu seorang pemimpin Demokrat New York serta memaparkan gambar mereka bersama.
"Betapa memalukan! Kes ini patut dibatalkan segera,” tulis Trump dalam hantaran itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada terjalin sebarang hubungan antara kerani Engoron dan Schumer selain daripada berkongsi gambar bersama itu.
Sehari sebelum itu, Trump juga menyerang kerani tersebut dalam komen-komen beliau di luar mahkamah, walaupun tanpa menyebut namanya. - Agensi
#Donald Trump #kes mahkamah Donald Trump #hakim bidas Donald Trump #Hakim Arthur Engoron
;