Hakim akui bukti peluru berpandu Buk digunakan untuk tembak jatuh MH17

Agensi
Jun 8, 2021 23:55 MYT
Wujud bukti bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 terkena letupan di luar pesawat yang disebabkan oleh peluru berpandu Buk. - Gambar fail/REUTERS
HAKIM bagi perbicaraan melibatkan serangan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 memaklumkan wujud bukti bahawa pesawat berkenaan terkena letupan di luar pesawat yang disebabkan oleh peluru berpandu Buk.
Pemaklumkan itu dinyatakan semasa hakim membacakan bukti ketika perbicaraan kes melibatkan empat suspek dalam buruan.
Tiga suspek adalah warga Rusia, sementara seorang lagi warga Ukraine.
Perbicaraan berkenaan diadakan di Belanda.
"Pakar memaklumkan impak ke atas badan pesawat berkenaan menyamai sistem peluru berpandu Buk dan peledak Buk.
"Tiada kerosakan yang dijumpai yang tidak bersesuaian dengan senario berkenaan, atau yang memungkinkan senario lain berlaku," jelas hakim Hendrik Steehuis.
Sebelum ini pasukan penyiasat antarabangsa merumuskan pada Mei 2018 bahawa pelancar peluru berpandu yang digunakan dalam serangan berkenaan adalah milik Brigad Peluru Berpandu Anti-Pesawat Rusia ke-53.
Kerajaan Belanda mahu Moscow bertangungjawab atas serangan berkenaan, sementara Rusia pula menafikan sebarang pembabitan.
Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014, membunuh semua 298 krew dan penumpang.
#Malaysia Airlines #MH17 #peluru berpandu BUK #hakim #perbicaraan #Ukraine #Rusia #Belanda
;