Hak Malaysia diambil kira dalam penyelesaian sempadan perairan - Tun M
Firdaus Azil
Disember 8, 2018 17:05 MYT
Disember 8, 2018 17:05 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan isu pertelingkahan berhubung sempadan perairan antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan dengan segala peruntukan undang-undang sedia ada.
Selain itu, beliau juga beri jaminan penyelesaian isu itu akan turut mengambil kira hak dan kedaulatan Malaysia.
“Banyak pihak telah mengumumkan sempadan mereka secara tidak konsisten dan ini mengakibatkan banyak pertelingkahan. Jadi kami akan menyelesaikan pertelingkahan ini dengan peruntukan perundangan sedia ada, dan juga hak kami,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan kapal milik Malaysia telah mencerobohi sempadan perairan Singapura, seperti yang dibangkitkan beberapa menteri di negara Republik itu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, buat masa ini beliau tidak boleh memberi jawapan akhir memandangkan perkara itu masih dalam rundingan dengan Singapura.
“Apa yang penting ialah Singapura setuju untuk berunding. Jadi, sehingga kita selesai berunding, kami tidak boleh beri jawapan akhir,” tegas beliau lagi.
#air
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Media
#menteri
#Perdana Menteri
#Petaling Jaya
#sempadan perairan
#Singapura
#undang-undang
#Wisma Putra