Haji tahun ini berjaya

Razak Chik
Oktober 19, 2013 11:34 MYT
Pengendalian musim haji tahun ini berjalan dengan lancar dan dianggap berjaya oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Sejumlah besar dari 1.4 juta jemaah haji dari 188 negara memilih melakukan nafar awal dan menyempurnakan segala rukun dan wajib haji pada hari Tasyriq kedua pada 15 Zulhijjah bersamaan 17 Oktober.
Ini bermakna mereka sudah boleh meninggalkan tanah suci setelah melakukan tawaf dan sa’ei haji sebelum pulang ke tanah air masing-masing dengan membuat tawaf wida’ sebagai ucapan selamat tinggal kepada Kota Mekah.
Menurut gabenor Kota Mekah, Putera Khaled al-Faisal bin Abdul Aziz, segala persiapan awal yang rapi telah membuahkan hasil apabila segala pergerakkan haji tahun ini berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Sebelum ini terdapat ura-ura pihak bertelagah dari rantau Asia Barat bercadang mengadakan tunjuk perasaan di beberapa lokasi tumpuan utama sewaktu kemuncak haji.
Pihak keselamatan Arab Saudi telah mengerahkan kira-kira 100,000 anggota tentera untuk tugas-tugas keselamatan termasuk pemantauan kamera litar tertutup dan pengawasan dari udara menggunakan helikopter.
Dalam pada itu, penerbangan pertama pulang ke tanah air membawa pulang jemaah Malaysia akan berlepas dari Arab Saudi pada 21 Oktober.
Mereka akan menggunakan pesawat penerbangan Saudia pada jam 7 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba di tanah air pada jam 8:50 malam hari yang sama.
Kumpulan jemaah yang akan bermukim di Madinah untuk lapan hari pula akan dibawa ke kota nabi itu pada 28 Oktober.
Penerbangan terakhir dijangka berlepas dari tanah suci pada 18 November.
#Arab Saudi #jemaah malaysia #Kota Mekah #nafar awal #Putera Khaled al-Faisal bin Abdul Aziz #Tasyriq #Zulhijjah
;