Hadir bagaikan ribut, kota Las Vegas 'ditakluk' jutaan belalang
Agensi
Julai 29, 2019 19:18 MYT
Julai 29, 2019 19:18 MYT
Tiada tanda akan reda. Penduduk di Las Vegas, Amerika Syarikat terus rimas dengan kehadiran berjuta-juta belalang yang terus menghurung setiap penjuru kota kasino itu.
Agensi berita CNN melaporkan, kedatangan belalang itu pada musim yang lembap kali ini, begitu luar biasa hinggakan kumpulan serangga tersebut dapat dilihat dalam radar cuaca.
Dari pandangan radar, ahli meteorologi CNN Allison Chinchar berkata seolah-olah berlaku dua kejadian ribut menyelubungi kawasan Vegas – satu terbentuk di sebelah utara bandar itu, yang kebetulan terjadi hujan, manakala yang satu lagi betul-betul di ruang langit Vegas.
Kedatangan belalang itu pada musim bunga kali ini, begitu luar biasa hinggakan kumpulan serangga tersebut dapat dilihat dalam radar cuaca.
Bagaimanapun, tangkapan radar di ruang langit Vegas itu tidak bergerak seperti kejadian hujan, sebaliknya terbentuk daripada kesan kehadiran berjuta-juta belalang yang memenuhkan setiap ceruk bandar raya tersebut.
Apabila tetapan radar dilaras, pakar meteorologi dapat mengenal pasti jutaan belalang tersebut yang sudah ‘menghuni’ bandar itu sejak minggu lalu.
Trend cuaca yang menyaksikan Las Vegas menerima taburan hujan dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya, dikatakan antara punca yang mempengaruhi pembiakan spesies belalang yang muncul dalam bilangan besar itu.
Penduduk dan pengunjung Las Vegas yang pada awalnya menyangka ia satu fenomena tahunan biasa, kini mula berasa bimbang dan rimas dengan kehadiran jutaan serangga terbang itu.
Media tempatan melaporkan, banyak aduan diterima yang mengatakan serangga berkenaan memasuki kenderaan, kediaman persendirian, ruang pejabat dan juga bangunan komersial lain, sekali gus mengganggu urusan seharian manusia.
Selain mendapat liputan meluas media di Amerika Syarikat, pengguna media sosial juga banyak memuat naik gambar dan video yang menunjukkan kegawatan situasi tersebut: