Hadiah Nobel Keamanan 2020 dianugerahkan kepada...
Hasimi Muhamad
Oktober 9, 2020 17:47 MYT
Oktober 9, 2020 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik usaha dunia memerangi pandemik COVID-19, Program Makanan Dunia (WFP) Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan atas usaha pertubuhan itu memerangi kebuluran.
Kemenangan itu menyaksikan agensi kemanusiaan terbesar dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$ 1.1 juta (RM4.5 juta).
Jawatankuasa Nobel Norway berkata, WFP telah bertindak sebagai penggerak dalam usaha untuk menghalang kelaparan sebagai senjata perang dan konflik.
“Jawatankuasa Nobel Norway telah memutuskan untuk menganugerahkan Anugerah Nobel Keamanan untuk tahun 2020 kepada Program Makanan Dunia (WFP) atas usahanya memerangi kelaparan.
“Selain itu, atas sumbangan WFP dalam memperbaiki keadaan di daerah yang dilanda konflik dan bertindak sebagai pendorong dalam usaha untuk mencegah penggunaan kelaparan sebagai senjata perang dan konflik,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang Nobelprize.org, pada Jumaat.
Sementara itu, jurucakap WFP menyifatkan kemenangan tersebut sebagai “saat yang membanggakan”.
Acara yang berlangsung secara sederhana itu menyaksikan seramai 101 pemenang diumumkan di Institut Nobel Norway di Oslo.
WFP membekalkan makanan kepada 90 juta orang di 58 negara setiap tahun, termasuk 58 juta kanak-kanak.
Matlamat utama WFP adalah untuk menolong mereka yang tidak mampu menghasilkan atau mendapat makanan untuk diri dan keluarga.
Tahun lalu, Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed diumumkan penerima Hadiah Nobel Keamanan berikutan usaha beliau menyelesaikan konflik berlarutan dengan negara jiran, Eritrea.
Penganugerahan Hadiah Nobel 2020 bermula dengan kategori perubatan pada 5 Oktober lalu.