Hadiah Nobel Fizik dianugerahkan kepada perintis pembelajaran mesin

Bernama
Oktober 8, 2024 23:26 MYT
Hadiah Nobel Fizik dianugerahkan kepada saintis Amerika Syarikat (AS) John Hopfield dan penyelidik British-Kanada Geoffrey Hinton, atas kerja perintis mereka dalam bidang pembelajaran mesin. - Foto REUTERS
STOCKHOLM: Hadiah Nobel Fizik dianugerahkan kepada saintis Amerika Syarikat (AS) John Hopfield dan penyelidik British-Kanada Geoffrey Hinton, atas kerja perintis mereka dalam bidang pembelajaran mesin, Akademi Sains Diraja Sweden mengumumkan pada Selasa.
Para saintis ini "menggunakan konsep asas daripada fizik statistik untuk mereka bentuk rangkaian neural buatan yang berfungsi sebagai memori asosiatif dan mencari corak dalam set data yang besar," kata Ellen Moons, pengerusi Jawatankuasa Nobel Fizik.
Pembelajaran mesin telah "menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, contohnya dalam pengecaman wajah dan terjemahan bahasa," kata Moons, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Kerja mereka mencipta "asas pembelajaran mesin yang boleh membantu manusia membuat keputusan yang lebih pantas dan boleh dipercayai."
Beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai kemajuan pesat dalam pembelajaran mesin yang telah menimbulkan "kebimbangan tentang masa depan kita" sebagai manusia, dan tentang penggunaan etika teknologi ini.
Tahun lalu, akademi menganugerahkan hadiah berprestij itu kepada tiga penyelidik, Pierro Agostini, Ferenc Krausz dan Anne L'Huillier atas eksperimen mereka yang "telah memberikan manusia alat baharu untuk meneroka dunia elektron di dalam atom dan molekul."
Hadiah ini dijadualkan akan disampaikan pada 10 Disember, hari ulang tahun kematian Alfred Nobel (1833-96), pencipta dinamit dan penderma hadiah Nobel.
-- BERNAMA
#Hadiah Nobel Fizik #John Hopfield #Geoffrey Hinton #Pembelajaran Mesin
;