Haba matahari mungkin mempengaruhi aktiviti gempa bumi - Kajian
Bernama
Mac 6, 2025 08:15 MYT
Mac 6, 2025 08:15 MYT
Haba matahari mencetuskan perubahan dalam suhu atmosfera, yang boleh mempengaruhi sifat batuan dan pergerakan air bawah tanah. - Gambar hiasan
ISTANBUL: Haba daripada matahari mungkin memainkan peranan dalam aktiviti gempa bumi di Bumi, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kajian baharu yang diterbitkan pada Selasa dalam jurnal sains Chaos.
Penyelidik dari Universiti Tsukuba Jepun dan Institut Sains dan Teknologi Perindustrian Lanjutan Kebangsaan mendapati, haba matahari mencetuskan perubahan dalam suhu atmosfera, yang boleh mempengaruhi sifat batuan dan pergerakan air bawah tanah.
Turun naik sedemikian, sebagai contoh, boleh menjadikan batuan lebih rapuh dan terdedah kepada keretakan, manakala perubahan dalam hujan dan pencairan salji boleh mengubah tekanan pada sempadan plat tektonik, kata pengarang Matheus Henrique Junqueira Saldanha.
"Walaupun semua faktor ini mungkin bukan pemacu utama gempa bumi, ia masih boleh memainkan peranan yang boleh membantu meramalkan aktiviti seismik," kata Saldanha.
Penyelidik menggunakan model matematik pada data gempa bumi, aktiviti matahari dan suhu permukaan, menemui fakta yang menggabungkan suhu permukaan dapat meningkatkan ketepatan ramalan, terutamanya untuk gempa bumi cetek.
"Itu masuk akal kerana haba dan air kebanyakannya mempengaruhi lapisan atas kerak Bumi," kata Saldanha.
"Ia adalah sesuatu yang menarik dan kami berharap kajian kami memberi sedikit pencerahan tentang gambaran yang lebih besar tentang apa yang mencetuskan gempa bumi," kata Saldanha.
-- BERNAMA