Gwyneth Paltrow galak guna 'buluh' sambut Hari Tandas Sedunia

Razak Chik
November 18, 2019 22:45 MYT
Gwyneth Paltrow tidak ketinggalan sumbang kepada pemulihan alam sekitar dengan menawarkan 'kertas tandas yang murni'.
SEKALI lagi, Nov 19 disambut dan dikenang sebagai Hari Tandas Sedunia. Bukan sekadar lawak jenaka, Hari Tandas Sedunia benar benar wujud dalam kalendar sambutan ulang tahun yang menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walaupun dunia bertambah maju, PBB mendedahkan bahawa 4.2 bilion penduduk dunia hidup tanpa kemudahan tandas asas; 637 juta terpaksa melakukan 'qada hajat’ tanpa tandas, sementara tiga bilion tiada kemudahan asas mencuci tangan.
Ini menimbulkan krisis sanitasi yang menjadi punca merebak penyakit berjangkit melalui penyebaran kuman melalui bekalan air dan rantaian makanan. Setiap tahun terdapat hampir setengah juta kematian akibat penyakit cirit-birit.
Hari Tandas Sedunia tidak dapat dipisahkan dari pengasas dan penggerak utama penyediaan dan penggunaan tandas - warga Singapura bernama Jack Sim.
Jack lahir pada tahun 1957 di Singapura dan membesar pada era republik itu masih mundur dengan tahap kesihatan rendah akibat penggunaan tandas curah atau tandas kering.
Pada umur 20-an, Jack berjaya dalam bidang keusahawanan, menjadi jutawan pada umur 40-an yang membolehkannya meninggalkan alam pekerjaan untuk membuat kerja kerja amal.
Berdasarkan pengalaman perit membesar tanpa kemudahan tandas, Jack menubuhkan WTO (World Toilet Organisation) pada 2001, menerima pengiktirafan kerajaan Singapura pada 2001 dan PBB pada 2013.
Kalangan penyokong Jack, beliau sering dinobat sebagai layak menerima Hadiah Nobel untuk Urusan Sanitasi.
Sementara itu, bintang tersohor Hollywood Gwyneth Paltrow tidak ketinggalan sumbang kepada pemulihan alam sekitar dengan menawarkan 'kertas tandas yang murni'.
Paltrow - pengasas perniagaan barangan dan perkhidmatan kesihatan atas talian menjual jenama Goop - menawarkan tisu tandas gulung yang diperbuat dari kertas berasaskan buluh.
Tisu tandas gulung itu disifatkan sebagai menggunakan 100 peratus buluh mampan, tidak menyebabkan paip tersumbat, licin dan lembut apabila menyentuh kulit.
Sesuai dengan status Paltrow sebagai bintang, barangan berjenama Goop dijual pada harga yang agak mahal.
Satu pek 24-gulung tisu tandas Goop - yang ditawar sebagai jualan istimewa musim menyambut perayaan hujung tahun - dijual atas talian pada harga AS$33 atau RM178. (Ini bermakna segulung tisu tandas gulung Goop yang dijaja Gwyneth berharga hampir RM8!).
#Gwyneth Paltrow #hari tandas sedunia #jack sim
;