Guterres seru penghapusan senjata nuklear secara keseluruhan di Perhimpunan PBB

Bernama
September 27, 2024 10:20 MYT
Guterres beri amaran mengenai ketegangan global yang semakin meningkat serta percambahan semula senjata nuklear pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB, sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keseluruhan Senjata Nuklear ke-10. - Gambar Reuters
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai ketegangan global yang semakin meningkat serta percambahan semula senjata nuklear, lapor Xinhua.
Beliau menyampaikan mesej ini pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB, sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keseluruhan Senjata Nuklear ke-10.
Guterres menekankan, perpecahan geopolitik dan kurangnya kepercayaan antara negara-negara telah meningkatkan ketegangan dan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear yang baharu.
Beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu menyampaikan mesej yang jelas iaitu satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman nuklear adalah dengan menghapuskan senjata nuklear sepenuhnya.
Setiausaha Agung itu juga menekankan bahawa perlucutan senjata dan usaha untuk menghentikan percambahan senjata nuklear saling berkaitan-kemajuan dalam satu bidang akan mendorong kemajuan dalam bidang yang lain.
"Negara-negara perlu bertindak segera untuk mencapai kedua-dua matlamat ini," tegasnya.
Guterres turut menyeru negara-negara yang memiliki senjata nuklear untuk menjadi teladan termasuk menghormati komitmen perlucutan senjata dan berjanji untuk tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear.
Beliau juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan dan menyesuaikan dengan perjanjian sedia ada yang bertujuan menghentikan penyebaran dan ujian senjata nuklear, terutama sekali dalam menghadapi kemajuan teknologi yang boleh meningkatkan ancaman.
"Masa depan kita bergantung pada tindakan ini. Mari kita hapuskan senjata nuklear dari dunia kita untuk selamanya," katanya. - BERNAMA
#UNGA79 #senjata nuklear #ketegangan global #Antonio Guterres
;